Walaupun perlu mengikuti kelas malam untuk persiapan bagi peperiksaan pengkhususan perubatan beliau, pelari lompat pagar Singapura, Ang Chen Xiang, tetap cemerlang dalam ujian di balapan pada 24 April.
Beliau mencatat masa 13.80 saat untuk sekali lagi memecahkan rekod nasionalnya sendiri, dengan menjuarai acara 110 meter lari lompat pagar dalam Kejohanan Balapan dan Padang Terbuka Singapura di Stadium Negara.
Dalam acara itu, beliau mencatat masa 0.01 saat lebih cepat berbanding rekod yang dicatatnya sebelum ini dalam kejohanan Siri 2 Olahraga di Hong Kong pada 29 Mac.
“Saya sudah biasa bekerja dan berlatih. Mengikuti kelas sebelum pertandingan sedikit sebanyak mengurangkan tekanan saya, jadi saya tidak kisah,” kata pelari berusia 30 tahun itu kepada The Straits Times (ST), selepas kemenangan beliau.
Doktor dalam latihan bidang pediatrik di Hospital Universiti Nasional (NUH) itu sudah terbiasa memulakan harinya seawal 6 pagi dan tidur pada 11 malam, membahagikan masanya antara kerjaya perubatan dengan latihan sukannya.
Paling membanggakan, beliau menjadi juara lari lompat pagar 110 meter yang pertama Singapura pada Sukan SEA dalam tempoh 56 tahun, apabila beliau dianugerahkan pingat emas bersama Natthaphon Dansungnoen dari Thailand pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Pada 24 April, beliau muncul sebagai pemenang, dengan atlet Hong Kong, Liu Hiu Long (13.83 saat) dan Cheung Siu Hang (13.96 saat), juga berjaya meraih tempat di podium.
Dua pelari Singapura berusia 19 tahun, Lucas Fun (15.19 saat) dan Raqib Razak (15.86 saat), pula masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dan kelapan.
Jelas gembira dengan prestasinya, Ang, yang dibimbing oleh adik lelakinya, Ding Hui, berkata:
“Penanda aras pertama yang saya gunakan untuk menilai prestasi saya ialah pelaksanaan saya dari segi teknikal, dan saya rasa secara umumnya ia adalah baik.
“Ada beberapa kesilapan yang saya lakukan, tetapi tiada yang terlalu besar. Semua ini mudah dibaiki dan diusahakan lagi, jadi saya gembira kerana apa yang saya dan jurulatih saya usahakan telah menunjukkan hasilnya di balapan hari ini.”
Prestasi terbarunya itu turut memberi beliau keyakinan untuk beraksi cemerlang dalam Kejohanan Olahraga Asia yang akan berlangsung dari 27 hingga 31 Mei di Korea Selatan, dan mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Thailand.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada majikannya kerana membenarkan beliau mengambil cuti untuk berlatih dan bertanding, beliau berkata:
“Saya dan jurulatih saya biasanya tidak menetapkan sasaran masa, kerana masanya ditetapkan berdasarkan prestasi saya.
“Jadi, bagi Kejohanan Olahraga Asia ini, kami menyasarkan untuk mengulangi apa yang telah kami lakukan hari ini, memperkemas dan melaksanakan (larian ini) dengan ketepatan 100 peratus,” ujar beliau.
“
Penanda aras pertama yang saya gunakan untuk menilai prestasi saya ialah pelaksanaan saya dari segi teknikal, dan saya rasa secara umumnya ia adalah baik. Ada beberapa kesilapan yang saya lakukan, tetapi tiada yang terlalu besar. Semua ini mudah dibaiki dan diusahakan lagi, jadi saya gembira kerana apa yang saya dan jurulatih saya usahakan telah menunjukkan hasilnya di balapan hari ini.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg