LONDON: Atlet Kenya, Agnes Tirop (gambar), yang juga pemegang rekod negara itu, ditemui mati akibat ditikam di kediamannya di Iten, sebuah bandar di barat negara tersebut, dengan polis menyatakan bahawa suami beliau merupakan suspek utama mereka.
Pemenang pingat gangsa dalam Kejohanan Atletik Sedunia sebanyak dua kali itu, yang menduduki tempat keempat dalam perlumbaan 5,000 meter di Sukan Olimpik Tokyo dua bulan lalu, berusia 25 tahun.
Bulan lalu, Tirop mencatat rekod dunia bagi wanita dalam acara 10 kilometer dalam perlumbaan di Jerman.
Polis sedang menyiasat kejadian tersebut sambil mendedahkan suami Tirop kini menjadi suspek utama setelah menghilangkan diri.
Para penyiasat telah ke rumah Tirop kelmarin setelah bapanya melaporkan beliau tidak dapat dihubungi sejak Selasa lalu.
"Apabila kami sampai ke rumahnya, kami menjumpai Tirop terlantar di atas katil berlumuran darah," kata Tom Makori, ketua polis kawasan tersebut.
"Kami mendapati bekas tikaman di leher mangsa, dari siasatan awal ia merupakan tikaman daripada sebilah pisau, dan tikaman itu yang menyebabkan kematiannya.
"Suami mangsa sementara itu juga telah menghilangkan diri dan siasatan awal menunjukkan beliau adalah suspek utama kami. Polis sedang mencari beliau untuk mendapatkan penjelasan mengenai apa yang berlaku," ujarnya lagi. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg