PARIS: Atlet lawan pedang asal Mesir, Nada Hafez mempunyai alasan berganda untuk berasa gembira di Paris apabila meraih kemenangan pertamanya dalam Sukan Olimpik Paris 2024 dan mendedahkan yang dirinya sedang hamil tujuh bulan.
Kemenangannya dalam acara lawan pedang itu diraih pada 29 Julai.
Atlet berusia 26 tahun itu yang bersaing dalam Olimpik ketiganya, menewaskan atlet Amerika yang juga pemain ke-10 dunia, Elizabeth Tartakovsky 15-13, sebelum tewas 15-7 kepada Jeon Hayoung dari Korea Selatan dalam pusingan 16 terakhir di Grand Palais.
Nada kemudian berkata beliau bukan sekadar bangga dengan penyertaannya, malah bersaing ketika beliau sedang hamil.
“Apa yang terlihat seperti dua pemain di pentas pertandingan, ternyata ada tiga! Ada saya, lawan saya, dan bakal anak saya yang akan dilahirkan ke dunia!” ungkap Nada melalui hantarannya di Instagram.
“Saya menulis hantaran ini sebagai menyatakan betapa bangganya saya dengan diri saya sendiri, kerana telah dapat melangkah hingga ke pusingan 16 peserta terakhir dan kali ini ia lebih istimewa.
“Tiga kali saya menjadi atlet Olimpik, tetapi kali ini sambil hamil atlet Olimpik cilik!” kata Nada.
Nada yang sebelum ini bertanding dalam Sukan Olimpik 2016 dan 2021 berkata beliau membuat pendedahan itu sebagai menunjukkan kekuatan, dan daya tahan wanita Mesir.
“Masa kehamilan dipenuhi dengan cabaran, kadangkala di atas dan kadangkala bawah, tetapi untuk tetap memiliki upaya dan daya juang dalam mengimbangi antara kehidupan harian dengan sukan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi amat berbaloi,” ujar Nada. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg