Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

MENANTI CABARAN 2022

Atlet mampu cemerlang... teruskan sokongan

Jan 02, 2022 | 05:30 AM



SEMENTARA pencapaian luar biasa Loh Kean Yew sebagai juara dunia pertama Singapura dalam sukan badminton dan pingat emas berganda ratu renang para Yip Pin Xiu di Sukan Paralimpik Tokyo berjaya menggemparkan negara, semangat juang pasukan nasional bola sepak Singapura dalam kekalahan pahit di separuh akhir Piala Suzuki tidak kurang diraikan.



Dalam sukan, kalah menang adalah adat permainan.



Namun, apa yang penting adalah pengajaran yang diraih daripada setiap kemenangan dan kekalahan itu.



Yang nyata, persembahan para atlet Team Singapore pada 2021 melebihi kecemerlangan di gelanggang masing-masing, ia turut "menghadiahkan" warga Singapura pengajaran berharga mengenai sukan - kuasa percaya pada diri sendiri.



Siapa menyangka Loh, yang 'unseeded' atau yang tidak diberi ranking bagi kejohanan, mampu mengalahkan pemain terbaik dunia dan mencipta sejarah di Kejuaraan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Sepanyol baru-baru ini?



Sepanjang tempoh kejohanan itu, Loh, 24 tahun, menumpaskan beberapa pemain handal dunia seperti jaguh Denmark - pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dan Anders Antonsen yang menduduki tempat ketiga di dunia - sebelum dinobatkan juara.



Dalam final, Loh berjaya menewaskan Srikanth dari India 21-15, 22-20 sekali gus menjadikannya rakyat Singapura yang pertama memenangi kejuaraan itu.



"Setiap orang mempunyai bakat yang berbeza, sebaik sahaja anda tahu apa yang anda mahu buat... lakukan. Tidak mengapa jika gagal kerana hanya daripada kegagalan, anda akan dapat belajar," kata Loh kepada atlet-pelajar di Sekolah Sukan Singapura ketika beliau mengunjungi alma maternya Rabu lalu.



Siapa juga yang menyangka Singapura, meski kehilangan tiga pemain, hampir berjaya menewaskan Indonesia di aksi kedua separuh akhir Piala Suzuki?



Menang, kalah atau seri, bekas jurulatih pasukan Singa Tatsuma Yoshida, dalam setiap sidang media sebelum ini, tidak pernah jemu berkata: "Saya percaya pada pemain saya."



Ini walaupun ramai yang mengkritik bola sepak Singapura.



Kata-kata semangat itu seakan satu doa.



Keyakinan beliau terhadap pemain dan bola sepak Singapura terserlah dalam persembahan pasukan Singa, yang kali pertama mara ke separuh akhir Piala Suzuki sejak 2012.



Ini turut dilihat daripada sokongan memberangsangkan peminat bola sepak Singapura, yang merasakan semangat 'Kallang Roar' telah kembali dalam jiwa mereka.



Bahkan, prestasi pasukan Singa - yang berjuang berhabis-habisan sehingga wisel penamat dalam separuh akhir yang dicemari pelbagai kontroversi itu - mendapat pujian peminat negara-negara jiran.



Walaupun pahit untuk ditelan, namun kekalahan itu akan kekal menjadi sumber rujukan pada masa akan datang bagi negara kecil seperti Singapura untuk terus percaya pada keupayaannya. Tiada apa yang mustahil.



Paparan atlet Singapura pada tahun lalu juga bukan sahaja menyentuh hati tetapi berupaya menggerakkan perubahan.



Ratu renang para Singapura Yip Pin Xiu mencetuskan perdebatan yang hangat mengenai perbezaan ganjaran wang tunai antara atlet Paralimpik dan Olimpik yang memenangi emas, dan akhirnya DBS Bank tampil untuk menggandakan anugerah wang tunai atlet para di sukan utama.



Yip, 29 tahun, berjaya mengulangi prestasi dua emas pada Sukan Rio de Janeiro 2016, di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada Ogos lalu, sekali gus menjadikannya atlet Paralimpik Singapura paling berjaya setakat ini dengan lima emas dan satu perak.



Beliau juga dianugerahkan Anugerah Presiden baru untuk Pencapaian Berinspirasi, mengiktiraf kejayaannya yang penuh inspirasi mengatasi cabaran berlatih di sebalik sekatan Covid-19.



Para atlet Team Singapore yang mewakili negara di Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo turut diundang ke Parlimen dan diberi penghormatan.



Akibat sekatan Covid-19 yang ketat di Singapura, ramai atlet menyaksikan latihan dan kemajuan prestasi mereka terjejas. Virus itu namun tidak mematikan semangat dan cita-cita mereka untuk mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa.



Pencapaian dan perjuangan para atlet negara ini menjadi bukti bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Natijahnya, untuk sentiasa percaya pada diri sendiri, dan semangat itu dapat diserlahkan lagi dengan sokongan daripada setiap warga Singapura.



2022 akan menjadi tahun yang sibuk bagi Team Singapore dengan beberapa temasya sukan besar dianjurkan - Sukan SEA Hanoi, Sukan Asia Hangzhou dan Sukan Komanwel Birmingham.



Pada Tahun Baru ini, saya menyeru warga Singapura menguatkan azam menyokong dan yakin pada para atlet kita, tidak kira apa jua keputusannya.



Ada pepatah Inggeris berkata: "Di sebalik setiap juara adalah pasukan yang mempersiapkannya untuk menjadi juara."



Justeru, untuk titik merah kecil ini terus menghasilkan lebih banyak juara, ia memerlukan sokongan sepasukan lima juta penduduknya.



Yakin dan terus yakin. Semoga Majulah Singapura terus berkumandang di pentas dunia sukan tahun ini!




HARAPAN TAHUN BARU ATLET



" Pelawan pedang Kiria Tikanah Abdul Rahman, 21 tahun



Kejayaan 2021:

- Antara dua warga Singapura pertama melayakkan diri bagi acara lawan pedang di Sukan Olimpik

- Penerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2021 "Tahun 2021 lebih baik daripada yang saya jangkakan. Banyak kenangan dan pengalaman baru serta pengajaran yang saya perolehi.



Ada beberapa temasya sukan besar tahun depan, seperti Sukan SEA dan Sukan Asia, di mana saya berharap saya dapat bermain pedang dengan baik dan memberi yang terbaik saya.



Seperti 2021, saya berharap 2022 akan membawa lebih banyak kejutan dan pengalaman yang indah."




Penjaga gol pasukan nasional Hassan Sunny, 37 tahun



Kejayaan 2021:

- Berjaya ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020.

- Juara Liga Perdana Singapura 2021 bersama Lion City Sailors.



"Tahun depan, pasukan nasional mempunyai beberapa kejohanan besar. Saya mahu melihat lebih ramai pemain muda dalam pasukan nasional dan berharap kami akan terus memperbaiki diri dan berada di tahap yang lebih tinggi.



Saya juga berharap penyokong Singapura akan terus menyokong kami seperti mana yang mereka paparkan di Piala Suzuki.




" Atlet angkat berat para Nur Aini Mohamad Yasli, 29 tahun



Kejayaan 2021:

- Warga Singapura pertama untuk bersaing dalam acara angkat berat di Sukan Paralimpik.

- Memecah rekod terbaik peribadi, 81 kilogram.



"Ia akan menjadi tahun 2022 yang sangat sibuk dengan dua temasya sukan besar akan datang tetapi saya ghairah untuk bersaing.



Saya raih banyak pengajaran berharga daripada pertandingan saya pada 2021 dan saya akan menggunakannya untuk mencatat rekod terbaik peribadi pada 2022.




" Pelumba basikal Riyadh Hakim Lukman, 23 tahun



Kejayaan 2021:

- Warga Singapura pertama berjaya menaiki podium dalam perlumbaan Piala Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa

- Juara Urban MTB Cross-Country Kejohanan Nasional 2021



"Saya berharap dunia akan pulih dan segalanya kembali normal supaya kita semua dapat menjalani rutin seharian seperti biasa dan juga lebih kerap bersaing dalam kejohanan setempat dan luar negara tanpa sekatan.



Saya benar-benar berharap Sukan SEA dan Sukan Asia akan dapat berlangsung seperti yang dijadual kerana itulah sasaran utama saya untuk 2022.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >