TRAGEDI melanda Kejohanan Perlawanan Asia yang diadakan buat julung-julung kalinya malam semalam di Marina Bay Sands apabila presiden Persekutuan Bina Badan Dan Susuk Badan Dunia (WBPF) Pradip Subramanian meninggal dunia selepas perlawanan muay thai.
Menurut laporan perubatan awal yang dikeluarkan Hospital Besar Singapura (SGH) hari ini, Pradip telah mengalami serangan jantung yang mengakibatkan beliau sesak nafas dan meninggal dunia.
Pradip, 32 tahun, dilaporkan kelihatan agak letih selepas menghadapi selebriti YouTube Steven Lim dalam satu perlawanan dan terpaksa dibantu keluar gelanggang.
Beliau dikejarkan ke SGH di mana beliau meninggal dunia.
Difahamkan bahawa semua pemain, termasuk "pemain selebriti" Lim dan Pradip, telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan menandatangani borang pengisytiharan mengenai risiko perlawanan itu.
Anak bongsu tiga beradik itu meninggalkan saudara kembarnya Saravanan dan Shanmugam, 43 tahun, ibunya VT Devi, 65 tahun dan bapanya Subramanian, 67 tahun.
Atlit muay thai Singapura Bryan Tee, 19 tahun, merupakan salah seorang peserta yang bertanding dalam acara itu.
Beliau berkata: "Selepas perlawanan itu, Pradip berdiri di penjuru gelanggang dan beliau kelihatan letih, seperti 'knock-out' biasa dalam sukan ini dan tidak kelihatan begitu serius.
"Tiba-tiba beliau perlahan-lahan rebah dan telah dibawa keluar.
"Beliau tidak seharusnya terlibat dalam perlawanan ini, beliau seorang atlit bina badan, untuk itu beliau mungkin tidak begitu bersedia untuk perlawanan ini.
"Ini kerana atlit bina badan biasanya tidak berlatih kardio tetapi kami melakukan senaman kardio yang banyak." Lim, 41, menulis pos di Facebook dan berkata bahawa ini merupakan masa yang sedih untuk beliau.
"Anda mengajar kita mengenai kebaikan bersikap berani dan kuat serta pentingnya gaya hidup yang sihat dan aktif.
"Ucapan takziah kepada anda, memang anda wira kami yang sebenar."
Pradip, seorang atlit bina badan veteran, pada mulanya tidak dijangka melibatkan diri, namun telah diumumkan sebagai pengganti finalis dan penyanyi Singapore Idol Sylvester Sim apabila Sim menarik diri di saat terakhir kerana masalah insurans
Ini merupakan perlawanan muay thai Pradip yang pertama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg