Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23

Aubameyang menjadi, Arsenal benam Newcastle 3-0

Sukan
30
0

Aubameyang menjadi, Arsenal benam Newcastle 3-0

Jan 20, 2021 | 05:30 AM

LONDON: Pierre-Emerick Aubameyang menemui semula sentuhan jaringannya, menyumbatkan dua gol dalam kemenangan 3-0 Arsenal ke atas Newcastle awal pagi semalam, sekali gus membolehkan pasukan itu memperbaiki kedudukannya di Liga Perdana England (EPL).

Gunners bergelut di zon bawahan sekitar sebulan lalu, namun 13 mata yang diraih daripada lima perlawanan terakhir membantu skuad bimbingan Mikel Arteta menduduki tempat ke-10 liga dan hanya kurang tujuh mata di bawah empat pasukan teratas.

Selain dua gol sumbangan Aubameyang, gandingan tenaga pemain muda Arsenal - Emile Smith Rowe dan Bukayo Saka - sekali lagi mencuri tumpuan apabila mereka mempamerkan aksi meyakinkan, dengan Saka menjaringkan gol kedua.

"Apabila kami mencatat kemenangan, mereka membuatkan saya tersenyum," kata Arteta mengenai kesan persembahan yang ditunjukkan Smith Rowe dan Saka.

"Saya tahu mereka berupaya melakukan sesuatu. Aksi yang dipamerkan oleh kedua-duanya sangat luar biasa."

Newcastle kekal di kedudukan penyingkiran selepas sembilan perlawanan tanpa kemenangan, walaupun pengurus Steve Bruce melakukan lapan perubahan.

Mereka satu-satunya pasukan yang tewas kepada Sheffield United dalam saingan liga minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang perubahan dipamerkan oleh Magpies, yang dilihat kurang bersemangat dan hanya sekali sahaja menguji penjaga gol Arsenal, Bernd Leno.

"Beraksi bertemu Arsenal, Leicester, Liverpool dan Manchester City sentiasa menjadi sesuatu yang sukar.

"Kami kecewa kerana gagal melakukan serangan. Inilah yang perlu kami pelajari dan fahami.

"Sebab utama kami sentiasa bertahan ialah untuk mengelakkan situasi menerima ancaman serangan secara tiba-tiba," kata Bruce.

Newcastle masih selesa duduk di tangga ke-15, dengan kelebihan tujuh mata daripada zon penyingkiran, namun pasukan di bawah mereka sekarang telah mula menunjukkan peningkatan, dengan persaingan liga kini berada pada pertengahan musim.

Aksi hambar Aubameyang di depan gawang sebelum ini antara faktor utama kesukaran Arsenal menjaringkan gol di bawah bimbingan Arteta pada musim penuh pertamanya membimbing pasukan itu.

Bagaimanapun, bintang Gabon itu mempamerkan aksi meyakinkan dengan menjaringkan gol pada minit ke-50 dan 77 untuk memastikan kemenangan Arsenal. - AFP.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3