Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Awalnya diketepi tapi silat kembali disertakan dalam Sukan SEA Kemboja

Beberapa acara sepak takraw turut digugur manakala boling dan menembak tiada dalam senarai awal pihak penganjur
Jul 22, 2022 | 5:30 AM
TUNGGU NASIB: Pasukan wanita boling negara, yang menang pingat emas Sukan SEA di Hanoi tahun ini, mungkin harus menunggu lebih lama untuk mempertahankan kejuaraan mereka. - Foto SNOC
TUNGGU NASIB: Pasukan wanita boling negara, yang menang pingat emas Sukan SEA di Hanoi tahun ini, mungkin harus menunggu lebih lama untuk mempertahankan kejuaraan mereka. - Foto SNOC -

PENCAK silat, yang awalnya tidak disertakan dalam senarai sukan bagi Sukan SEA Kemboja tahun depan, kini akan dipertandingan dalam edisi ke-32 temasya sukan serantau itu.

Bagaimanapun, nasib bagi satu lagi sukan, sepak takraw, belum lagi pasti. Difahamkan acara antara regu dan beregu sepak takraw, yang disenaraikan sejak Sukan SEA Manila 1981, tidak akan disertakan pada temasya sukan tahun depan.

Sebaliknya, acara regu berpasukan, kuadran, gelung dan chinlone yang mempertaruhkan 16 pingat emas akan dipertandingkan, lapor akhbar Malaysia, Harian Metro.

Senarai sukan bagi Sukan SEA Kemboja pada 5-17 Mei itu menimbulkan kejutan, dengan beberapa sukan yang telah kerap ditampilkan dalam edisi temasya sukan dwitahunan itu sebelumnya dijangka terlepas disertakan.

Di mesyuarat terkini Persekutuan Sukan SEA di Hotel Sokha di Phnom Penh minggu lepas, senarai sementara yang merangkumi 40 sukan termasuk sukan utama seperti atletik dan akuatik, dengan polo air kembali dimasukkan selepas gagal mendapat tempat dalam edisi terakhir di Hanoi Mei lalu, yang ditunda selama tujuh bulan akibat pandemik.

Persekutuan Sukan SEA dijangka mengadakan mesyuarat dalam minggu-minggu mendatang untuk memuktamadkan senarai sukan yang akan dipertandingkan di ibu kota Kemboja itu.

Susunan program sukan bagi setiap edisi temasya diputuskan negara tuan rumah dan disokong oleh Persekutuan Sukan SEA. Oleh itu, sukan dan jenis acara disertakan berlainan pada edisi temasya sukan yang berbeza.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Silat Singapura (Persisi), Sheik Alau'ddin Yacoob Marican, baru-baru ini mendedahkan kepada Berita Harian (BH) bahawa silat telah mendapat 'lampu hijau' untuk dipertandingan dalam Sukan SEA Kemboja.

"Saya gembira silat mendapat sokongan untuk disertakan dalam Sukan SEA Kemboja. Sukan SEA memberikan platform baik untuk pesilat kami menguji kehebatan mereka dan mencapai kecemerlangan di rantau ini," ujarnya.

Majlis Olimpik Malaysia, dalam satu posnya di Facebook pada 13 Julai lalu, turut mengesahkan penyerataan sukan itu.

Bagi sepak takraw pula, Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) akan cuba 'memujuk' Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) untuk memasukkan semula acara antara regu dan beregu sepak takraw dalam edisi temasya sukan mendatang ini, menurut Harian Metro.

Presiden Astaf, Abdul Halim Kader, dipetik sebagai berkata acara berkenaan seharusnya dipertandingkan kerana sudah lama disenaraikan sejak Sukan SEA 1981.

Beliau menambah pihaknya juga akan mendapatkan sokongan Presiden Majlis Olimpik Thailand, Jeneral Pravit Wongsuwan, dan Presiden Majlis Olimpik Indonesia, Raja Sapta Oktohari, untuk menyokong usaha membawa kembali acara itu supaya dipertandingkan semula di Kemboja kelak.

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses), Nasri Haron, ketika ditanya BH mengenai hal tersebut pada Pesta Sukan Sepak Takraw 2022 di Anjung@WGS Isnin lalu, enggan mengulas lanjut dan "akan hanya menunggu pengumuman daripada para penganjur".

Sukan lain seperti boling dan menembak - yang secara tradisi menyumbang pingat kepada Team Singapore - juga harus menanti nasib mereka.

Boling telah ditampilkan dalam tujuh daripada sembilan edisi terakhir Sukan SEA sejak 2005, manakala menembak telah dipertandingkan dalam kesemua 31 edisi Sukan SEA.

Sukan SEA Kemboja namun akan menyaksikan kapal layar, floorball dan kriket disertakan semula.

Teqball, sukan yang menggabungkan bola sepak, sepak takraw dan tenis meja dan dimainkan di atas meja melengkung, juga akan diperkenalkan sebagai sukan pertunjukan di edisi itu.

SEKILAS

SENARAI SUKAN YANG DILULUSKAN BAGI SUKAN SEA KEMBOJA 2023

1. Atletik

2. Akuatik (renang, terjun indah & polo air)

3. Badminton

4. Bola keranjang (3x3 & 5x5)

5. Biliard dan Snooker

6. Bina badan

7. Tinju

8. Catur (xiangqi & ok chakktrong)

9. Kriket

10. Berbasikal (perlumbaan basikal gunung dan jalan raya)

11. Sukan tarian

12. E-Sukan

13. Perlumbaan daya tahan (aquathlon, duathlon & triatlon)

14. Lawan pedang

15. Renang fin

16. Floorball

17. Bola sepak

18. Golf

19. Gimnastik (artistik & aerobik)

20. Hoki (padang & dalam dewan sukan)

21. Jet ski

22. Judo

23. Karate

24. Kun Khmer (muay)

25. Seni mempertahan diri (arnis, jujitsu, tinju tendang, kun bokator, vovinam dan seni mempertahan diri Korea)

26. Perlumbaan berhalangan

27. Petanque

28. Kapal layar

29. Sepak takraw

30. Pencak silat

31. Tenis 'soft'

32. Tenis meja

33. Taekwondo

34. Tenis

35. Perlumbaan bot tradisional

36. Bola tampar & bola tampar pantai

37. Angkat berat

38. Gusti

39. Wushu

SUKAN PERTUNJUKAN:

1. Teqball

  1. Sumber: FACEBOOK MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg