RAHEEM STERLING, 27 tahun
SEORANG pemain yang boleh menyemarakkan City dan memberikan sumbangan gol dalam perlawanan antara Man City dengan Man United ini adalah Raheem Sterling.
Pemain England itu telah didakwa sebagai patah hati di awal musim dan mendambakan berpindah ke kelab lain.
Namun, Sterling, yang pernah mewakili Liverpool, telah menunjukkan beliau berjiwa profesional dan masih boleh bangkit dan memberikan persembahan bersungguh-sungguh di padang walaupun ada perkara lain di luar padang yang boleh mengganggu tumpuannya.
Malah, Sterling menjaringkan hatrik dalam pertemuan dengan Norwich pada bulan lalu, yang bermakna beliau adalah pemain kedua - selepas Lionel Messi - yang menjaringkan paling banyak gol dalam pasukan yang dipimpin Guardiola.
Sterling bukan sahaja mampu menjaringkan gol, malah boleh menarik pemain pertahanan dan membuka ruang bagi pemain lain.
Sterling telah mendewasa musim ini dan ini boleh dilihat dalam pendekatannya dalam perlawanan, yang tidak lokek memberikan bola kepada rakan sepasukan yang berada dalam posisi lebih baik.
Jika dibiarkan dan tidak dibendung rapat, Sterling boleh menyusahkan Harry Maguire dan benteng pertahanan United. - Foto AFP
ANTHONY ELANGA, 19 tahun
ANTHONY ELANGA adalah seorang pemain bertenaga yang cukup berpengaruh untuk menyemarak semangat pasukan setiap kali beliau menyertai serangan.
Pemain ini masih remaja tetapi beliau berjaya menjaringkan gol dari bangku simpanan semasa United menentang Leeds dan Atletico.
Bagi pemain yang baru berusia 19 tahun, Elanga mungkin belum memenuhi potensi sebagai pemain, tetapi Rangnick telah menggesa pemain lain untuk beraksi seperti pemain ini.
"Lihat bagaimana Anthony bermain. Beliau tahu kekuatannya. Beliau tahu kelemahannya dan beliau tidak berhenti berlari dan melakukan larian yang bijak untuk memporak-perandakan lawan," kata Rangnick.
"Inilah cara yang saya mahu pemain kita, yang saya mahukan dari United.... supaya kita tidak berhenti berlari dan bermain bermati-matian dalam setiap perlawanan.
"Apabila kita berbuat demikian, keputusan yang diharapkan akan muncul.''
Potensi Elanga menggerunkan. Pada usia 19 tahun, beliau bermain dengan kebijaksanaan pemain yang berpengalaman sedekad dan tenaga yang bak tiada bendungannya.
Apabila bola di kaki, beliau sentiasa mencari rakan sepasukan atau menghala ke gawang lawan. Namun, tanpa bola, beliau bukan sahaja pandai membuat larian lintang, malah tidak segan untuk cuba merampas bola dari kaki lawan. - Foto REUTERS


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg