Sukan bola sepak sering kali dianggap sebagai dunia yang didominasi oleh kaum lelaki, tetapi dua pemain muda, Nurhidayu Naszri dan Izairida Shakira, membuktikan bahawa semangat dan bakat wanita juga mampu mencipta sejarah.
Dalam episod ketujuh podcast Kaki Bola terbitan akhbar ini, kedua-dua atlet dari pasukan wanita Lion City Sailors (LCS) ini berkongsi pengalaman peribadi mereka, daripada detik-detik bangga melayakkan diri ke peringkat antarabangsa hingga cabaran yang dihadapi dalam perjalanan mereka.
Pasukan wanita LCS baru-baru ini melakar sejarah apabila mereka berjaya menempah tiket ke Liga Juara-Juara Wanita Asia (AWCL).
Pencapaian ini amat membanggakan, terutamanya selepas pasukan lelaki kelab itu, Lion City Sailors, juga berjaya melangkah ke peringkat akhir Liga Juara-Juara Asia 2.
Bagi penjaga gawang, Izairida Shakira, perasaan bangga dan gembira itu amat sukar digambarkan.
“Gembiralah, bangga… semua persiapan dan pengorbanan macam berbaloi akhirnya bila kita berjaya qualify,” ujarnya.
Beliau mengakui bahawa perjalanan tersebut tidak mudah, terutamanya ketika perlu berhadapan dengan pasukan-pasukan kuat seperti Etihad.
Pada musim sebelumnya, pasukan LCS tewas 5-0 kepada Etihad Club, tetapi tahun ini mereka berjaya menebus kekalahan tersebut dan menang 2-0.
Pemain midfield, Nurhidayu Naszri, pula menggambarkan perasaannya selepas perlawanan menentang Kelana United.
“Saya rasa sangat lega dan juga gembira gila,” katanya sambil tertawa.
Beliau menjelaskan bahawa pencapaian ini adalah hasil daripada pengorbanan yang dilakukan oleh setiap pemain dan pegawai dalam pasukan.
“Banyak pengorbanan yang kita buat. Jadi, setelah kita dapat tahu yang kita telah qualify, kita semua, seluruh pasukan, terus menangis, menangis kerana terlalu gembira”.
Air mata yang mengalir di padang adalah lambang kegembiraan dan kelegaan selepas segala usaha keras membuahkan hasil.
Kemenangan dramatik ke atas Etihad Club bukanlah sesuatu yang mudah.
Ia menuntut latihan yang gigih dan berdisiplin.
Nurhidayu berkata beliau dan rakan sepasukannya sedar bahawa standard permainan mereka jauh berbeza dengan pasukan antarabangsa.
Justeru, mereka terpaksa berlatih lebih keras, memberi tumpuan kepada kecergasan mereka dengan latihan fizikal termasuk berlari mengelilingi stadium berkali-kali.
Dalam perlawanan menentang Etihad, kekalahan pedih di tangan pasukan yang sama pada musim sebelumnya juga menjadi pembakar semangat.
“Adalah, rasa perlu menebus kekalahan musim lalu” jawab Nurhidayu ringkas.
“Pasal Etihad pun kami rasa mula complacent. Mereka pernah lawan kita, jadi mereka fikir kita pun macam musim lalu, mereka boleh ‘makan’ lah. Tapi kami berazam; “No! No! No!” tegasnya.
Semangat itu turut dibantu oleh kehadiran pemain-pemain asing.
Nurhidayu memberikan contoh Amy Takeuchi dari Jepun, yang disiplin dan cara bermainnya telah membantu menaikkan mutu permainan pasukan.
Shakira pula mengagumi rakan sepasukan dan rakan penjaga golnya, Beatrice, kerana pengalaman dan kata-kata motivasi yang diberikan.
Walaupun mencapai kejayaan gemilang, perjalanan kedua-dua pemain ini penuh dengan cabaran.
Mereka perlu bijak menguruskan masa antara pelajaran dan komitmen bola sepak.
Syakira yang mengambil kursus Pencahayaan dan Bunyian di ITE Kolej Barat, dan Nurhidayu yang mengikuti kursus Filem Digital dan Televisyen di Politeknik Temasek, perlu berkorban masa lapang bersama rakan-rakan.
“Saya memang tak dapat keluar dengan kawan-kawan, kerana ada latihan dan sebagainya. Ini semua adalah pengorbanan yang saya perlu lakukan,” kata Nurhidayu.
Namun, beliau bersyukur dengan sokongan yang diterima daripada pensyarah dan rakan-rakan. Sokongan ini membantu mereka mengimbangi bola sepak dan pelajaran.
Selain cabaran masa, Nurhidayu turut berkongsi pengalaman pahitnya apabila mengalami kecederaan lutut, Ligamen Krusiat Anterior (ACL) pada usia muda.
“Bila saya diberitahu yang kecederaan saya tu adalah kecederaan ACL, dan saya akan terlepas semua pertandingan, saya sedih ‘gila’,” katanya.
Namun, beliau bangkit dengan mentaliti yang positif. “Saya bilang diri sendiri, saya pun masih muda dan it’s not over... Saya kerap beritahu diri sendiri, okay, saya akan pergi rehab, saya akan kerja keras, bermula dari bawah dan jadi lebih kuat daripada dulu”.
Nurhidayu dan Shakira berharap pencapaian mereka dan pasukan wanita LCS akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai gadis muda di Singapura.
Mereka percaya bahawa bola sepak bukanlah sukan yang terhad kepada satu jantina sahaja.
“Saya rasa... ramai orang tidak tahu yang kita pun ada WPL League,” kata Nurhidayu. Beliau berharap liputan media dapat dipertingkatkan untuk menonjolkan bola sepak wanita, yang mempunyai saingan dan perlawanan menarik.
Shakira pula menegaskan bahawa terdapat stereotaip yang perlu diatasi, seperti tanggapan bahawa wanita yang bermain bola sepak tidak ladylike.
“Sekarang sudah tahun 2025 dan pekerjaan tertentu yang lelaki buat pun boleh dilakukan wanita. Jadi kalau bidang pekerjaan tertentu pun bukan hanya untuk lelaki, kenapa bola sepak harus berbeza, tidak boleh?”.
Di samping itu, beliau menambah bahawa cabaran lain termasuk kemudahan dan stadium yang kurang memuaskan.
Walaupun berdepan dengan pelbagai halangan, kedua-dua pemain ini kekal optimis.
Shakira berharap suatu hari nanti beliau dapat bermain di luar negara.
Nurhidayu pula berharap bola sepak wanita Singapura akan terus berkembang dan mendapat sokongan yang sewajarnya daripada masyarakat, terutama penyokong bola sepak.
Pengorbanan dan semangat juang yang ditunjukkan oleh Nurhidayu dan Shakira adalah bukti bahawa masa depan bola sepak wanita di Singapura cerah.
Dengan lebih banyak sokongan dan pendedahan, mereka yakin sukan ini akan terus berkembang dan melahirkan lebih ramai pemain hebat yang mampu mengharumkan nama negara.
“Jangan takut untuk mencuba,” nasihat Nurhidayu kepada pemain muda wanita. “Walaupun ia sukan tradisional lelaki, tapi perempuan pun boleh berjaya dalam bola sepak”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg