LOS ANGELES: Kapten Wales Gareth Bale sasar beraksi di kejohanan Euro 2024 - dan mungkin Piala Dunia 2026 - selepas mendedahkan beliau menyertai Los Angeles FC (LAFC) untuk tempoh jangka panjang.
Penyerang berusia 32 tahun itu ditandatangani LAFC secara percuma dari Real Madrid, dengan pilihan untuk kekal di kelab Major League Soccer itu pada musim 2024.
Bale menepis cadangan bahawa beliau hanya menyarung jersi kelab Amerika Syarikat itu untuk membina tahap kecergasannya bagi Piala Dunia tahun ini.
"Berada di sini memberi saya peluang terbaik untuk bermain di Euros dan, mana tahu mungkin untuk satu lagi edisinya," katanya.
"Saya masih boleh beraksi untuk beberapa tahun lagi. Saya tidak datang ke sini untuk bermain selama enam atau 12 bulan. Saya tiba di sini untuk cuba kekal di kelab selama yang mungkin.
"Saya ingin bermain dengan sebaik mungkin, beraksi cemerlang dalam liga ini dan untuk pasukan, dan saya tidak sabar untuk melihat masa depan saya. Ia bukan hanya untuk jangka pendek.
"Ia memberikan peluang terbaik untuk saya terus bermain sehingga edisi Euros seterusnya, mungkin untuk tahun-tahun selanjutnya."
Bale berkata demikian dalam sidang media pertamanya sebagai pemain LAFC di Stadium Banc of California kelab itu kelmarin, setelah tiba di Amerika Syarikat pada Jumaat
Beberapa jam selepas tiba di California, Bale menyaksikan LAFC mencatat kemenangan 3-2 ke atas musuh bandar LA Galaxy sebelum diperkenalkan kepada penyokong selepas perlawanan. - Agensi berita.