Pasukan Lion City Sailors yang dibimbing Aleksandar Rankovic terpaksa tunduk kepada Bangkok United apabila tewas 2-1 buat kali kedua dalam kempen Liga Juara-Juara Asia mereka musim ini.
Jaringan penyerang Lion City Sailors, Lennart Thy, tidak mencukupi untuk mengatasi pasukan Thailand itu.
Perlawanan bermula dengan tempo yang agak perlahan, apabila kededua pasukan mendapatinya sukar untuk mengekalkan penguasaan bola.
Beberapa hantaran tersasar daripada kededua pihak, namun tiada pasukan yang berjaya memanfaatkan kesilapan tersebut semasa awal perlawanan.
Peluang pertama Bangkok hadir pada minit ke-11, apabila satu hantaran lintang tepat ke arah kepala penyerang Bangkok United, Muhsen Saleh Al Ghassani, namun tandukannya gagal menemui sasaran.
Peluang terbaik bagi Sailors pula hadir pada minit ke-23, apabila pemain sayap Bart Ramselaar mengawal bola dengan kemas di dalam kotak penalti Bangkok dan berjaya melepaskan satu rembatan, namun percubaannya tepat ke arah penjaga gol, Patiwat Khammai.
Namun, Bangkok yang berjaya membolosi gawang Sailors dahulu.
Hantaran jauh daripada pemain tengah Weerathep Pomphun berjaya melepasi barisan pertahanan Sailors dengan mudah.
Muhsen bijak mengawal gerakannya agak tidak terperangkap dalam kedudukan ofsaid, dan beliau temui banyak ruang untuk melepaskan penyudah kemas bagi meletakkan pasukannya di hadapan.
Separuh masa pertama berakhir 1-0 memihak kepada Bangkok United yang dibimbing Totchtawan Sripan.
Separuh masa kedua bermula dengan Sailors berusaha keras memburu gol penyamaan.
Hanya dua minit selepas perlawanan bermula semula, hantaran lintang oleh pemain Sailors, Akram Azman, disambut Anderson Lopes yang membuat percubaan, namun sekali lagi tersasar.
Semangat juang Sailors untuk bangkit jelas kelihatan menerusi beberapa gerakan berbahaya yang mengancam kubu lawan.
Peluang terbaik mereka hadir apabila Tsiy berjaya mengumpan bola kepada Lennart Thy ke dalam kotak penalti lawab, yang kemudian melepaskan rembatan deras, namun percubaan beliau masih gagal menemui sasaran.
Bangkok hampir menggandakan kelebihan mereka apabila Thitiphan Puangjan melepaskan rembatan ke arah, namun Toni Datković pantas melakukan halangan untuk mengekalkan harapan Sailors.
Namun, harapan itu akhirnya pudar apabila pemain gantian Bangkok, Luka Adzic memanfaatkan serangan balas pantas untuk menjaringkan gol kedua Bangkok, sekaligus mengesahkan kemenangan pasukannya.
Sailors berjaya menjaringkan gol saguhati melalui Thy pada masa tambahan, tetapi ia terbukti terlalu lewat untuk pasukan Singapura itu merampas sebarang mata daripada perlawanan tersebut.
Dengan kekalahan ini, Sailors kini berada di tangga ketiga Kumpulan G dengan 4 mata, sementara Bangkok mendahului dengan 9 mata dan Persib di tempat kedua dengan 7 mata.
Harapan Sailors untuk mara ke pusingan seterusnya kini kelihatan semakin tipis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg