PERSONALITI SUKAN

'Banyak lagi yang ingin saya capai dalam arena tinju amatur'

Petinju nasional Hanurdeen tidak terburu-buru mahu jadi petinju profesional; fokus pada Sukan SEA dan lahir harapan dapat jejak ke pentas Olimpik

BEBERAPA rakan seperjuangannya termasuk Muhamad Ridhwan Ahmad, Muhammad Ashiq Amran dan Mohamed Hamzah Mohamed Farouk, sudah pun bergelar petinju profesional.

Namun, bagi petinju nasional Mohamed Hanurdeen Hamid, beliau lebih selesa terus digelar petinju amatur - tidak terburu-buru mahu 'terjun' dalam arena profesional sukan itu.

Di sebalik kalendar tinju profesional yang lebih rancak di sini sejak beberapa tahun lalu, pemenang dua pingat Sukan SEA ini - sebutir perak di temasya 2015 dan sebutir gangsa di temasya 2017 - masih memendam hasrat memburu kejayaan lebih besar dalam arena tinju amatur.

"Saya sudah beraksi di empat edisi Sukan SEA... memenangi dua pingat... selain bertarung di beberapa kejohanan berprestij lain," ujar Hanurdeen dalam satu temu bual dengan Berita Harian (BH) baru-baru ini.

"Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan sejauh ini... mewakili Singapura dan cuba menjadi kebanggaan negara dalam setiap kejohanan itu tetapi di dalam jiwa ini saya yakin masih mampu mencatatkan sesuatu yang lebih besar dalam tinju amatur ini.

"Rasanya saya belum mencapai potensi sepenuhnya... itulah juga yang membakar semangat saya untuk terus berlatih sehingga hari ini dan kekal fokus pada sukan ini," tambah petinju berusia 25 tahun itu yang bertarung dalam kelas 'fly' (berat badan 49-51 kilogram) .

Dengan sebutir perak dan gangsa Sukan SEA sejauh ini, mungkin boleh difahami mengapa anak kedua dalam keluarga empat beradik ini berasa 'tugasnya' belum lagi lengkap - lebih-lebih lagi memandangkan kali terakhir pingat emas tinju Sukan SEA yang dimenangi atlit Singapura tiba lebih tiga dekad lalu.

Lebih tepat lagi melalui pencapaian Muhamad Mukhlis Amat yang merangkul emas di Sukan SEA Bangkok pada 1985.

Kebetulan, tahun ini menyajikan peluang keemasan bagi Hanurdeen mengulangi kejayaan cemerlang itu apabila temasya sukan dwitahunan berprestij ini berlangsung di Filipina dari 30 November hingga 11 Disember ini.

Pengalaman berharga yang diraih terutama kekecewaan nyaris-nyaris tewas dalam final Sukan SEA 2015 yang berlangsung di tanah air - apabila Hanurdeen terpaksa berjuang di gelanggang dengan hanya 'sebelah mata' akibat mata kirinya yang bengkak teruk semasa menentang petinju Filipina, Bautista Ian Clark - pastinya menjadi bekalan berharga dalam misi memburu emas di temasya sukan kali ini nanti.

Dan selepas pengalaman "yang tidak dapat dilupakan" dipilih sebagai satu-satunya petinju dalam kontinjen muda Singapura yang beraksi di temasya Sukan Olimpik Belia (YOG) yang julung-julung kalinya dianjurkan Singapura pada 2010, boleh difahamkan juga mengapa Hanurdeen terngiang-ngiang mahu mencuba sedaya-upaya melayakkan diri dan merasakan sendiri bahang persaingan di medan Sukan Olimpik pula - dengan temasya Olimpik seterusnya dijadualkan di Tokyo, Jepun, tahun depan.

"Antara detik hebat saya dalam sukan ini memang semasa beraksi di YOG... pengalamannya begitu istimewa sekali kerana ia merupakan platform Olimpik dan saya berpeluang bertemu dan menguji kecekapan dengan petinju-petinju muda handalan lain dari serata dunia.

"Sekalipun saya tidak menang pingat, perasaannya sahaja... menjadi sebahagian daripada keluarga Olimpik... sukar digambarkan dengan kata-kata. Yang pasti, kenangannya akan terus terpahat dalam ingatan saya," tambah Hanurdeen, yang terlepas pingat gangsa YOG selepas tewas kepada pencabarnya dari Uzbekistan, Zohidjon Hoorboyev, dalam pertarungan menentukan tempat ketiga/keempat.

Jika tercapai cita-citanya ini, beliau akan menjadi hanya petinju kedua Singapura yang berjaya mendaki sehingga ke Olimpik - mengikut jejak ketua jurulatih nasional yang juga presiden Persatuan Tinju Amatur Singapura (Saba), Syed Abdul Kadir Syed Abu Bakar, yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972.

Mula diperkenalkan kepada sukan ini pada usia 14 tahun oleh abangnya Mohamed Hanif sebagai aktiviti yang dapat "mengisi masanya" secara lebih produktif, Hanurdeen tidak mengambil masa yang lama untuk membuktikan bakat dan potensinya yang besar di dalam gelanggang tinju.

Semasa YOG 2010, usianya baru mencecah 17 tahun.

Malah setahun lebih awal, bekas pelajar Sekolah Rendah Zhonghua dan Sekolah Menengah Serangoon Garden ini sudah pun terpilih mewakili negara buat pertama kali di kejohanan yang berlangsung di seberang Tambak.

Dan sepanjang bergelar petinju nasional, Hanurdeen - yang memiliki sijil Higher Nitec dalam Pengurusan Sukan dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Choa Chu Kang dan akan turut menamatkan pengajian Diploma dalam Kejurulatihan Sukan dari Politeknik Republic pada Ogos ini - sudah pun menyertai pelbagai latihan pusat dan kejohanan bertaraf antarabangsa termasuk di Cuba, Iran, India, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia.

"Banyak lagi yang boleh saya capai dalam tempoh tiga hingga lima tahun mendatang ini... di peringkat Sukan SEA... Sukan Komanwel," ujar Hanurdeen sambil melahirkan penghargaan di atas bantuan dan sokongan yang dihulurkan sejak lebih setahun lalu daripada penajanya, Summit Power Limited - syarikat yang mengendalikan jana kuasa di beberapa wilayah di Bangladesh.

"Juga, adalah menjadi harapan saya untuk berusaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik sebelum menamatkan kerjaya amatur saya... jadi soal menjadi petinju pro bukanlah sesuatu yang saya fikirkan sekarang ini," tambahnya lagi sambil menyebut sokongan dan pengorbanan ibunya, Cik Jarina Begum, yang bersusah payah membesarkan kesemua adik-beradiknya sebagai sumber inspirasi dalam memburu kejayaan dalam sukan ini.


"Antara detik hebat saya dalam sukan ini memang semasa beraksi di YOG... pengalamannya begitu istimewa sekali kerana ia merupakan platform Olimpik dan saya berpeluang bertemu dan menguji kecekapan dengan petinju-petinju muda handalan lain dari serata dunia. Sekalipun saya tidak menang pingat, perasaannya sahaja... menjadi sebahagian daripada keluarga Olimpik... sukar digambarkan dengan kata-kata. Yang pasti, kenangannya akan terus terpahat dalam ingatan saya.
- Petinju negara, Mohamed Hanurdeen Hamid, mengenai pengalamannya menjadi wakil negara di temasya Sukan Olimpik Belia (YOG) yang julung-julung kalinya dianjurkan di Singapura pada 2010.


CONTOH BEBERAPA PETINJU SETEMPAT YANG ORAK LANGKAH KE ARENA PROFESIONAL

Muhamad Ridhwan Ahmad

Antara petinju paling berbakat Singapura, Ridhwan memulakan kerjaya profesional dengan cemerlang - memenangi 11 pertarungan awal sebelum tewas melalui keputusan 'split' kepada Paulus Ambunda dari Nigeria bagi merebut kejuaraan 'super bantam' Pertubuhan Tinju Antarabangsa (IBO) di Marina Bay Sands pada September lalu. Ridhwan juga tewas dalam pertarungan terakhirnya, kepada petinju Filipina, Cris Leon.

Mohamed Hamzah Mohamed Farouk

Memiliki rekod cemerlang lapan kemenangan dalam lapan pertarungan profesional sejauh ini - termasuk kejayaan mempertahankan kejuaraan Antara Benua kelas 'super feather' Kejohanan Tinju Dunia (WBC) Asia selepas menewaskan pencabarnya dari Thai, Paiboon Lorkham, sempena edisi keenam 'The Ring Fighting Championship' (TRFC) baru-baru ini.

Muhammad Ashiq Amran
Merupakan atlit muay thai sebelum memilih kerjaya sebagai petinju profesional pada September 2017. Mempunyai rekod enam kemenangan, satu seri dan satu kalah. Harapannya merebut kejuaraan kelas 'bantam' belia super dunia Majlis Tinju Sedunia (WBC) tidak kesampaian apabila tewas kepada petinju Thailand, Thattana Luangphon, di Bangkok baru-baru ini.