BINA BADAN

Bapa berusia 60 tahun kini bergelar juara dunia

Kejayaan memenangi kategori 'Masters' kejuaraan pertamanya di medan antarabangsa

ENAM tahun selepas menceburi bina badan secara serius, Abdullah Jaafar, 60 tahun, kini bergelar juara dunia.

Bapa dua anak itu memenangi kategori Masters (60 tahun dan ke atas) di Kejohanan Bina Badan dan Susuk Badan Sukan Dunia (WBPF) Kelapan di Pattaya, Thailand, hujung minggu lalu - kejuaraan pertama yang diraihnya di medan antarabangsa.

WBPF ialah badan induk bagi sukan bina badan antarabangsa.

Sebelum ini, Abdullah - yang turut dikenali sebagai Dollah Jaafar - pernah meraih tempat kelapan dan keenam dalam kejohanan sama.

Beliau memperolehi keputusan terbaiknya - tempat kelima - tahun lalu.

Lantaran itu, Abdullah berkata beliau 'ditenggelami' pelbagai emosi semasa diumumkan sebagai juara, terutama semasa lagu kebangsaan Majulah Singapura berkumandang semasa upacara penyampaian pingat.

"Susah nak gambarkan perasaan yang bermain di minda. Saya fikirkan tentang pengorbanan saya selama ini. Saya juga berasa bangga kerana dapat mewakili sukan ini dan mengibarkan bendera Singapura di acara antarabangsa," ujar Abdullah, yang bertugas sebagai pengarah kreatif di syarikat Singapore Press Holdings (SPH).

Beliau memulakan persiapan bagi kejohanan dunia ini sekitar Julai lalu, tetapi mempergiat latihan dan menjaga pemakanan secara teliti sekitar tiga bulan lalu.

Dalam tempoh itu, beliau juga memenangi pingat perak di Kejohanan WBPF Asia di Bhutan pada September lalu.

Menurut jurulatihnya, Ramlan Ramli, 48 tahun, pencapaian itu menambah keyakinannya melihat Abdullah mengorak langkah mendapat tempat di atas podium kejohanan di Pattaya.

"Bentuk tubuhnya baik dan beliau bekerja keras untuk mengatasi kelemahan yang ada. Tapi saya juga tidak sangka beliau akan menang," ujar Ramlan, yang menitiskan air mata selepas menerima berita kemenangan Abdullah.

"Kini, beliau menjadi sumber inspirasi bagi saya pula," tambahnya, yang pernah mewakili dan mengharumkan nama negara di kejohanan bina bana antarabangsa dalam tahun-tahun 1990-an.

Akhirnya, Abdullah bukan sahaja memenangi pingat emas, malah menewaskan juara bertahan dari China, Jiang Xian, dengan jurang perbezaan mata yang agak luas.

Menurut Abdullah, kejayaannya itu kini membuatnya berfikir dua kali tentang niatnya mahu bersara selepas pertandingan ini.

Walau bertekad meneruskan latihan, beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu mempertahan kejuaaraan di kejohanan dunia 2018, yang dijadualkan berlangsung di Mongolia.

"Ada atlit bina badan muda yang memberitahu saya bahawa pencapaian ini memberi mereka dorongan agar meraih kejayaan sendiri... bagi saya, kerja keras dan disiplin adalah kunci kejayaan dalam mana-mana sukan," ujar Abdullah.

"Saya bersyukur, perkara yang saya mulakan sebagai hobi dan bagi menjaga kesihatan dan kecergasan tubuh dalam usia yang kian lanjut, kini juga boleh menjadi sumber inspirasi."

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:13
Isyak
8:28
3 HR PSI: 30
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.