NOU CAMP: Musim ini diharap berbeza tetapi bagi kali kedua berturut-turut, juara lima kali Barcelona tersingkir ke Liga Europa daripada Liga Juara-Juara Eropah.
Nasib mengaibkan yang menimpa kelab yang dianggap salah satu daripada kelab bola sepak terhandal di dunia ini sudah dijangka, lebih-lebih lagi selepas Barcelona tewas kepada Bayern Munich di awal pusingan kumpulan.
Penyingkiran kali ini mungkin lebih pahit, kerana pengurusnya, Xavi, pernah mendakwa nasib tidak menyebelahi pasukannya dalam Liga Juara-Juara.
Malah, presidennya, Joan Laporta, berkata mutu pengadil dan pengadilan dalam pertandingan musim ini di bawah jangkaan dan telah menyebabkan Barcelona tewas.
Dakwaan ini diluahkannya selepas Barcelona tewas 0-1 kepada Inter di San Siro.
Sebenarnya, Barcelona hanya perlu menyalahkan diri sendiri kerana tersingkir ke 'divisyen kedua' bola sepak Eropah.
Nasib mereka telah tertulis sebelum wisel permulaan dengan Bayern.
Malah, Xavi - yang disanjung sebagai bekas pemain di Barcelona - juga telah memaksa pemainnya menyaksikan perlawanan antara Inter Milan dengan Viktoria Plzen sehari sebelum ia tewas dalam perlawanan kedua dengan Bayern di awal minggu lalu.
Kemenangan Inter ke atas Viktoria - yang memang dijangka - memastikan penyingkiran Barcelona dari Liga Juara-Juara.
Beberapa pemerhati bola sepak di Eropah berkata Barca tidak layak beraksi di pertandingan elit Eropah kerana Barcelona kali ini tidak sehandal Barcelona yang mempunyai Lionel Messi, Xavi dan Andreas Iniesta. Ia juga tidak setaraf untuk dibandingkan dengan Barcelona yang dibintangi pemain bertaraf bintang dari Brazil, Ronaldo.
Malah, Barcelona seharusnya tersingkir lebih awal daripada pertandingan.
Namun, nasib menyebelahinya dan ia berjaya mengikat Inter seri 3-3 di Nou Camp pada awal bulan ini.
Semasa bercakap dengan media di akhir perlawanan itu, kapten pasukan, Sergio Busquets, bak telah mengaku kalah dan sedar riwayat Barcelona dalam pertandingan itu tidak akan berkekalan.
Beliau memberitahu wartawan keprihatinan utamanya ialah menyemarak semangat rakan pasukan untuk membuat persiapan bertemu Real Madrid dalam perlawanan La Liga Sepanyol.
Keprihatinannya itu terbukti, selepas Barcelona tewas 1-3 kepada Real di Santiago Bernabeu, membenarkan Real mendaki ke puncak liga.
Pada ketika itu, Xavi berkata bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan itu dan bukan kerana pemain tidak beraksi dengan baik.
PEMAIN BARU DAN LAMA
Sifat setia yang ditunjukkan Xavi kepada Busquets menghairankan, kerana pemain lebih muda dari Belanda, Frenkie de Jong, kelihatan lebih bermaya dan bertenaga apabila diberi peluang beraksi di posisi Busquets di bahagian 'midfield' dan bertindak sebagai perisai bagi benteng pertahanan.
Juga, Barcelona telah menunjukkan ia telah bangkit musim ini.
Ia hanya tewas sekali musim ini - kepada Real - dan baru sahaja melepaskan empat gol.
Malah, rekod pertahanan ini lebih mengagumkan jika masalah kecederaaan Barcelona - yang kehilangan beberapa bek tengah mapan - diambil kira.
Namun Barcelona gagal apabila berentap dengan pasukan-pasukan lebih 'besar' di Eropah.
Musim lalu, ia tersingkir daripada Liga Europa di tangan Eintracht Frankfurt, sementara musim ini pula, Xavi hanya memimpin pasukannya memenangi satu perlawanan dalam Liga Juara-Juara.
Ia telah tewas empat kali dan diikat seri dua kali.
Keputusan yang mengecewakan ini tidak dapat dimaafkan oleh penyokong setianya kerana kelab itu telah membelanjakan £138 juta ($156 juta) - menggunakan keuntungan pada masa depan - untuk membeli pemain bertaraf bintang seperti Robert Lewandowski, Raphinha dan Jules Kounde.
Malah, baru-baru ini, Laporta berkata beliau tidak menjangka berada dalam keadaan ini kerana staf jurulatih telah membentuk pasukan yang disangka amat kompetitif.
Malangnya, Barcelona kini telah tersingkir daripada Liga Juara-Juara sebelum Krismas.
Namun, beliau berkata Barcelona tidak mempunyai sebarang keprihatinan, walaupun penyingkiran awal itu bermakna ia kehilangan pendapatan berjuta dolar.
Difahami, Barcelona telah mengambil kira pendapatan hasil wang hadiah dalam Liga Juara-Juara dalam bajet tahunan kelab itu.
"Tentunya kesan kewangan akan dirasai, tapi kami boleh menanggungnya," kata Laporta dalam satu wawancara televisyen baru-baru ini.
"Kami mempunyai jalan lain untuk menambah pendapatan dan tidak akan berasa terlalu risau," kata beliau.
"Adalah lebih merisaukan jika kami gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan."
XAVI PERLUKAN TROFI MUSIM INI
Kedudukan Barcelona di La Liga stabil dan ia kini dijangka melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.
Namun Xavi masih terpaksa mempertahankan pasukannya yang kini dilabel 'jaguh kampung' kerana hanya mampu menang apabila bertarung dalam La Liga.
Malah, Xavi terpaksa mempertahankan standard permainan dalam Liga Liga selepas Barcelona menewaskan Athletic Club 4-0 minggu lalu.
Beberapa sumber dalaman di Barcelona berkata Xavi kini tertekan memenangi trofi pada musim ini selepas Barcelona membeli pemain dengan harga yang tinggi, walaupun beliau pada mulanya telah melahirkan harapan dapat melatih pemain akademi menjadi pemain kesebelasan utama yang handal.
Xavi sendiri akur beliau menanggung sedikit tekanan sedemikian, selepas Barcelona tewas kepada Real.
"Pasukan kami telah diperkukuh dengan pemain baru dan ini bermakna kami perlu menang trofi.
"Dan jika kami tidak menang apa-apa... sebagaimana yang telah dikatakan oleh presiden, pastinya ada kesan... bermula dengan saya.
"Pastinya seorang jurulatih baru akan dilantik," kata Xavi.
Namun, sekurang-kurangnya ada beberapa pemain dan bekas pemain yang masih memberi sokongan kepda Xavi.
Pemenang Piala Dunia dan bekas bintang Arsenal dan Barcelona, Thierry Henry, berkata Xavi telah memainkan peranan untuk menenangkan keadaan bermasalah di Barcelona tetapi usaha beliau tidak diiktiraf.
"Saya tahu... dalam bola sepak, keputusan yang disanjung dan dicari-cari. Lihat sahaja layanan yang diberikan kepada Steven Gerrard. Masalahnya di Barcelona ialah seorang jurulatih tidak diberikan masa untuk menjadi jurulatih dan membangun skuad yang handal.
"Tanpa Xavi, masalah kelab itu akan menjadi lebih ketara," kata Henry. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg