Barcelona ‘curi’ mata di St James’ Park

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Barcelona ‘curi’ mata di St James’ Park

Gol penalti Lamine Yamal pada minit ke-95 menyamakan kedudukan 1–1
Mar 11, 2026 | 12:55 PM

Barcelona ‘curi’ mata di St James’ Park

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
newcastle united, barcelona, liga juara-juara
Penyerang Newcastle United, Harvey Barnes (kanan), menjaringkan gol pertama pasukannya dalam perlawanan pertama 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona di St James’ Park, Newcastle, pada 10 Mac. - Foto REUTERS

NEWCASTLE (England): Sorakan daripada penonton bergema kuat.

Baki beberapa saat sahaja lagi bagi Newcastle United meraih kemenangan bersejarah menentang Barcelona di St James’ Park, dengan penyokong tuan rumah menyeru pengadil Marco Guida supaya menamatkan perlawanan.

Namun, satu kejutan berlaku pada penghujung perlawanan pertama 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara ini apabila Barcelona mendapat sepakan penalti pada minit ke-95.

Lamine Yamal dengan tenang menendang penalti untuk menjaringkan gol penyamaan, menyebabkan pengurus Newcastle, Eddie Howe, hampa selepas keputusan seri 1-1.

“Serangan terakhir perlawanan,” keluh Howe. 

Penyerang Newcastle, Harvey Barnes turut terkejut.

Barnes pastinya menyangka beliau telah mencipta sejarah selepas meletakkan pasukannya di depan, dengan jaringan pertama pada minit ke-85.

Barnes malah sempat mendapat sorakan gemuruh daripada penyokong, namun tidak lama kemudian beliau menunduk di bangku simpanan apabila melihat kemenangan terlepas daripada genggaman Newcastle.

“Cara perlawanan ini berakhir memang sukar diterima,” kata Barnes kepada TNT Sports

“Tetapi kita mesti ingat, ini baru separuh perjalanan dalam pusingan dua perlawanan.”

Newcastle pastinya akan mendapat semangat daripada cara mereka bersaing dengan Barcelona, apabila menentang juara lima kali itu di Camp Nou, Barcelona, dalam perlawanan kedua pada 19 Mac.

Howe telah mencabar pasukannya untuk mengambil peluang sepenuhnya dalam setiap detik permainan dan mencontohi pasukan terdahulu yang terkenal kerana menewaskan peneraju La Liga itu pada 1997.

Keseluruhan pasukan hampir mencapai matlamat itu selepas enggan tunduk kepada Barcelona, dan bertahan dengan teguh selama tempoh perlawanan.

Sebilangan pemain Newcastle menunjukkan prestasi cemerlang di bahagian pertahanan, membantu mengehadkan ancaman serangan daripada Barcelona sepanjang perlawanan.

Pengurus Barcelona, Hansi Flick, mengulas prestasi pasukan dalam perlawanan itu:

“Kami kehilangan terlalu banyak bola. Kesilapan mudah, dan inilah yang dimanfaatkan Newcastle.

“Apabila mereka mendapat bola, mereka terus menyerang.

“Apa yang mereka hasilkan memang baik. Mereka mempunyai ramai pemain yang dinamik dan sangat pantas.”

Pengurus pasukan lawan, Howe, memberi ulasan mengenai prestasi pasukannya:

“Ini menaikkan nama kelab kami, di dalam dan luar padang, tetapi saya sangat kecewa kerana kami gagal meraih kemenangan yang sepatutnya kami peroleh.

“Itulah bola sepak… perkara itu telah berlaku, dan sekarang kami perlu bangkit semula, mengambil pengajaran daripada perlawanan ini dan cuba mengekalkan (prestasi) dengan lebih konsisten.”

Selain perlawanan sengit di St James’ Park, beberapa perlawanan lain di pelbagai bahagian dunia juga berlangsung pada 10 Mac.

Di Stadium Metropolitano di Madrid, Atletico Madrid menewaskan Tottenham Hotspur 5-2, dengan jaringan daripada Marcos Llorente, Antoine Griezmann, Julian Alvarez dan Robin Le Normand.

Jaringan Spurs pula datang daripada Pedro Porro dan Dominic Solanke.

Di Rams Park, Istanbul, perlawanan ke-100 Arne Slot sebagai pengurus Liverpool berakhir dengan kekalahan apabila kelab Turkey, Galatasaray, meraih kemenangan tipis 1-0 melalui jaringan Mario Lemina.

Galatasaray akan membawa kelebihan ini ke Anfield, Liverpool, pada 18 Mac.

Di Bergamo Stadium, Italy, Bayern Munich meraih kemenangan mudah 6-1 ke atas Atalanta dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Michael Olise terlibat dalam tiga jaringan pertama, membantu Bayern memperoleh kelebihan selesa dalam 25 minit pertama.

Mario Pasalic menjaringkan gol untuk Atalanta pada masa tambahan, tetapi ia tidak menjejas pengaruh kuat Bayern dalam perlawanan itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg