Topic followed successfully
Go to BHkuBayern, Real antara kelab dilapor minat dapatkan Sterling
Bayern, Real antara kelab dilapor minat dapatkan Sterling
Bayern, Real antara kelab dilapor minat dapatkan Sterling
MANCHESTER: Beberapa kelab terkemuka Eropah termasuk Chelsea, Bayern Munich dan Real Madrid sedang memantau situasi penyerang Manchester City, Raheem Sterling, di tengah-tengah ketidaktentuan mengenai masa depannya.
Sterling, yang menyertai City pada 2015, belum lagi bersetuju untuk menandatangani kontrak baru sekalipun kontraknya dijangka tamat dalam masa setahun lagi.
Pemain antarabangsa England berusia 27 tahun itu telah menjaringkan 13 gol dalam kempen Liga Perdana England (EPL) yang lalu yang turut menyaksikan City dinobat juara liga.
Namun Sterling hanya berada di bangku pemain simpanan di permulaan pertarungan terakhir liga - kemenangan ke atas Aston Villa.
City telahpun mendapatkan dua tenaga penggempur bagi kempen baru - Erling Haaland dari Borussia Dortmund dan Julian Alvarez dari River Plate.
Pengerusi kelab itu, Khaldoon Al Mubarak, sebelum ini juga telah menyatakan bahawa kelab itu mungkin menandatangani sekurang-kurangnya dua lagi pemain.
Difahamkan situasi Sterling mungkin dibincangkan lagi pada pertengahan bulan ini, selepas komitmen beliau bersama pasukan England tamat dalam kejohanan Liga Negara-Negara Eropah.
Sterling juga tidak berminat untuk menjadi pemain simpanan dan telah mengatakan hasrat untuk meningkatkan serta memainkan peranan lebih bermakna dalam membantu kelab yang beliau wakili untuk memenangi lebih banyak kejuaraan.
Beliau tahu bermain secara kerap merupakan cara terbaik untuk memastikan beliau mengekalkan tempatnya dalam pasukan England bagi Piala Dunia Qatar pada November nanti.
City juga berkemungkinan melepaskan satu lagi penyerangnya, Gabriel Jesus, yang telah dikaitkan dengan Arsenal sejak kebelakangan ini.
Sementara itu, pengurus baru Manchester United, Erik ten Hag, dilaporkan sedang memantau situasi kontrak Mason Mount di Stamford Bridge.
Pemain midfield berusia 23 tahun itu mempunyai dua tahun lagi bersama The Blues, namun masa depannya di kelab itu menjadi keraguan.
Menyusuli pengambilalihan kelab tersebut oleh konsortium Todd Boehly, perbincangan mengenai kontrak baru pemain antarabangsa England itu dilaporkan masih lagi belum mendapat kata putus.
Mount mula mendapat perhatian Ten Hag sewaktu pemain itu beraksi untuk kelab Vitesse Arnheim di Belanda sebagai pemain pinjaman dan pengurus itu terus memantau perkembangan Mount sejak itu. - Agensi berita.

