LONDON: Agensi berita BBC terpaksa memohon maaf kepada penyokong Manchester United kelmarin, selepas satu mesej yang menyifatkan kelab bola sepak Liga Perdana England itu sebagai 'sampah' diterbitkan di saluran televisyennya.
Mesej yang menyinggung itu timbul semasa siaran satu perlawanan tenis.
Menyusuli insiden itu, seorang penyampai berita BBC memohon maaf kepada penyokong United yang mungkin berasa tersinggung.
Beliau berkata kesilapan itu berlaku kerana ada kakitangan yang sedang belajar menjalankan alat pesanan dan menulis kata-kata secara rambang.
Penyampai berita itu berkata:
"Anda mungkin melihat pada lebih awal tadi... komen tentang Manchester United. Saya berharap penyokong Manchester United tidak berasa tersinggung."
"Biar saya terangkan... apa yang berlaku adalah ada seseorang sedang belajar cara mengendalikan alat menghantar mesej itu... dan komen itu terbit secara tidak sengaja.
"Saya memohon maaf jika anda melihatnya dan berasa tersinggung, dan jika anda seorang penyokong Manchester United."
Satu kenyataan BBC kepada agensi berita PA berkata:
"Ada satu kegenjotan teknikal semasa sesi latihan menggunakan alat mesej ujian, yang terbit selama beberapa saat di program siaran langsung kami. Kami memohon maaf jika ia menyebabkan sesiapa berasa tersinggung."
Manchester United, yang gagal memenangi sebarang trofi sejak 2017, mengakhiri musim EPL di tangga keenam, dengan pungutan mata yang paling rendah dalam sejarah EPL.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg