Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas juara Wimbledon, Simona Halep, bersara

Feb 5, 2025 | 2:04 PM
Simona Halep, yang merupakan bekas juara Wimbledon dan 22 piala Jelajah WTA, telah mengumumkan persaraannya.
Simona Halep, yang merupakan bekas juara Wimbledon dan 22 piala Jelajah WTA, telah mengumumkan persaraannya. - Foto ST

Juara Grand Slam dua kali dan bekas pemain nombor satu dunia, Simona Halep telah bersara daripada sukan tenis.

Pemain Romania itu mengumumkan keputusannya di gelanggang Terbuka Transylvania berikutan kekalahan pusingan pertamanya (6-1 6-1) kepada Lucia Bronzetti.

Pemain berusia 33 tahun itu baru-baru ini berkata beliau sedang mempertimbangkan keputusan untuk bersara akibat kecederaan lutut yang memaksanya menarik diri daripada kelayakan Terbuka Australia Januari lalu, lapor BBC Sports.

Acara minggu ini merupakan kejohanan kelima sejak kembali ke Jelajah WTA berikutan larangan doping, dalam kes yang berlangsung hampir dua tahun.

Membuat kenyataan yang penuh emosi, Halep berkata:

“Saya membuat keputusan ini dengan jiwa saya. Ia satu perkara yang indah. Saya menjadi pemain nombor satu dunia, saya menangi Grand Slam, itu sahaja yang saya mahukan.

“Kehidupan diteruskan, ada kehidupan selepas tenis dan saya berharap kita akan berjumpa lagi.

Halep berjaya memenangi kejuaraan utama pertamanya di Terbuka Perancis pada 2018, menewaskan Sloane Stephens, setelah tewas tiga perlawanan akhir Grand Slam sebelum ini.

Beliau kemudian menang di Wimbledon pada 2019, hanya melakukan tiga kesilapan dalam kemenangan terakhir yang menakjubkan ke atas Serena Williams.

Beliau memenangi 22 gelaran Jelajah WTA dan menghabiskan 64 minggu sebagai pemain nombor satu dunia.

Halep dikenakan penggantungan empat tahun atas dua kesalahan guna dadah berasingan selepas pada awalnya diuji positif bagi dadah pada Ogos 2022.

Beliau sentiasa mengekalkan pendirian tidak bersalah dan merayu terhadap larangan itu di Mahkamah Timbang Tara Sukan pada 2024.

Panel memutuskan bahawa Halep, “berdasarkan kebarangkalian”, tidak mengambil bahan roxadustat dengan sengaja dan larangannya dikurangkan kepada sembilan bulan.

Beliau kemudian kembali dalam Jelajah WTA pada Mac 2024, tetapi hanya bermain enam perlawanan hingga 2025 dan hanya menang sekali.

“Saya sentiasa kekal realistik dengan diri saya dan dengan badan saya,” kata Halep.

“Prestasi yang saya pernah capai, ia sangat sukar untuk capainya dan saya tahu apa erti untuk sampai ke tahap itu.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg