BEKAS kapten bola sepak negara Nazri Nasir mengalami strok ringan dan kini dirawat di hospital, kata jurucakap Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) petang ini (17 Disember).
Ketua jurulatih pasukan Singa Muda itu dimasukkan ke hospital semalam untuk menjalani prosedur perubatan.
Menjawab pertanyaan Berita Harian, jurucakap badan bola sepak negara itu berkata:
“Ketua Jurulatih Singa Muda Nazri Nasir dimasukkan ke hospital semalam untuk menjalani prosedur perubatan dan kemudian mengalami strok ringan. Beliau kini sedang pulih di bawah jagaan doktornya. Kami meminta agar privasi beliau dan keluarganya dihormati semasa waktu ini.
“Kami semua di FAS ingin menyampaikan ucapan cepat sembuh kepada Jurulatih Nazri.”
Nazri, 49 tahun, dilantik menjadi jurulatih pasukan Singa Muda untuk musim 2020 Liga Perdana Singapura, menggantikan Fandi Ahmad, pada tahun lalu.
Pasukan kendalian Nazri mengakhiri musim liga ini di tangga ketujuh daripada sembilan kelab.
Nazri dijangka memimpin pasukan Singa Muda ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada hujung tahun depan, meskipun tiada ketua jurulatih yang diumumkan secara rasmi setakat ini.