Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Bekas pemain Liga-J Takayuki Nishigaya jurulatih baru pasukan bola sepak nasional

Apr 25, 2022 | 04:45 PM



BEKAS pemain Liga Jepun, Liga-J, Takayuki Nishigaya, dilantik sebagai ketua jurulatih baru pasukan bola sepak nasional.



Pelantikan itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Isnin (25 April), iaitu empat bulan selepas peletakan jawatan mengejut bekas ketua jurulatih Tatsuma Yoshida selepas Piala Suzuki AFF lewat Disember lalu.



Yoshida, warga Jepun, mengundurkan diri untuk pulang ke negara asalnya dan kini memimpin kelab Liga J2, Ventforet Kofu.



Nishigaya, yang menyambut ulang tahun ke-49 beliau pada 12 Mei ini, dipilih untuk mengisi “kerusi panas” pasukan nasional atas saranan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) kepada FAS, dedah Presiden FAS Lim Kia Tong dalam satu sidang media di Stadium Jalan Besar pada petang ini.



Warga Jepun itu, yang diperkenalkan kepada media secara maya petang ini, mengikat kontrak selama dua tahun bersama FAS, dengan pilihan untuk melanjutkan tempohnya di sini, dan akan mula menggalas jawatannya secara rasmi bulan depan.



Beliau kini dalam proses memuktamadkan dokumen kerja yang diperlukan untuk membuat perjalanan ke Singapura.



Nishigaya akan dibantu oleh jurulatih pasukan bawah 23 tahun nasional, Nazri Nasir, yang telah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Singa, serta jurulatih kakitangan dan pakar analisis pasukan itu, Koichiro Iizuka.



Kedua-dua Nazri dan Iizuka, pernah berkhidmat sebagai kakitangan belakang tabir Tatsuma.



Lahir di Shizuoka, Nishigaya adalah bekas pemain pertahanan Liga Jepun yang menyarung jersi pasukan mantap, Nagoya Grampus, Avispa Fukuoka, Tokyo Verdy dan JEF United Chiba dari 1996 hingga 2000. Beliau kemudian berpindah ke kelab divisyen kedua, Albirex Niigata pada 2001 dan kemudian menggantungkan butnya pada akhir musim.



Sejak itu, beliau memperoleh peluang sebagai penolong jurulatih di Universiti Tsukuba, Tokyo Verdy, Universiti Chukyo, Albirex Niigata dan Mito Hollyhock, sebelum menjadi ketua jurulatih Mito pada pertengahan 2015. 



Beliau membantu menyelamatkan kelab Liga J2 itu dari penyingkiran (tempat ke-19 daripada 22 pasukan) tahun itu dan menjamin tangga pertengahan liga (tempat ke-13 dan ke-14) dalam dua musim seterusnya.



Beliau mengambil alih kelab divisyen tiga, SC Sagamihara pada 2018, dan membimbing mereka ke tangga kesembilan daripada 17 pasukan. Tahun selanjutnya, beliau menyertai pasukan tahap kedua, Matsumoto Yamaga sebagai jurulatih pasukan bawah 18 tahunnya dan menjadi penolong jurulatih pasukan senior mereka pada 2020 sebelum meninggalkan kelab itu Jun lalu.



Sama seperti pendahulunya, Yoshida, Nishigaya tiada pengalaman mengendalikan pasukan nasional. Yoshida mampu merakam enam kemenangan daripada 19 perlawanan, memimpin Singapura ke separuh akhir Piala Suzuki tahun lalu, dan telah dipuji kerana membawa kembali bibit kecemerlangan dalam pasukan nasional. 



Ujian pertama Nishigaya adalah di kelayakan Piala Asia 2023 pada 8 hingga 14 Jun ini, di mana Singapura akan berdepan pasukan tuan rumah Krygyzstan, Tajikistan dan Myanmar, sedang mereka memburu kelayakan pertama di kejohanan itu. Singapura pernah beraksi di edisi 1984 sebagai pasukan tuan rumah. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >