BEKAS pemain negara K. Kannan telah mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) supaya larangan ke atas beliau melibatkan diri dalam semua kegiatan bola sepak seumur hidup digugurkan.
Larangan tersebut dikenakan terhadap bekas pemain itu setelah beliau, sekarang 59 tahun, didapati bersalah dan dipenjara atas kesalahan rasuah melibatkan perlawanan bola sepak pada 1995.
Jumaat lalu, beliau menyerahkan permohonan bertulis kepada FAS menerusi peguamnya daripada firma Eugene Thuraisingam LLP.
Ini kali kelima beliau membuat permohonan sedemikian kepada FAS dan juga Persekutuan Bolasepak Asia, selepas permohonan lalunya dari 1995 hingga 2002 ditolak.
"Saya gembira masih ada orang terus ingat saya, dan ambil berat tentang diri saya," kata Kanan.
"Saya sudah berumur, zaman gemilang bola sepak saya sudah berlalu. Saya melakukan kesilapan dan telah menanggung padahnya. Sekarang saya hanya mahu meneruskan kehidupan saya," ujarnya, lapor The Straits Times.
Mantan wartawan dan tokoh politik pembangkang Josy Raymond telah membentuk sebuah pasukan peguam untuk membantu Kannan dalam rayuannya, setelah seorang kenalannya memberitahu beliau mengenai surat yang diterima bekas pemain itu daripada FAS Ogos tahun lalu.
Difahamkan bahawa Kannan menerima surat tersebut setelah FAS menerima aduan bahawa beliau bermain bola sepak secara sosial di Persatuan India (IA) sebulan sebelum itu.
Dalam rayuannya, pasukan guaman Kannan meminta agar larangan seumur hidup itu digugurkan, kerana bekas pemain itu "hanya mahu menyumbang kembali kepada masyarakat bola sepak dan berkongsi cintanya terhadap bola sepak dengan para pemain muda".
Rayuan itu turut disokong oleh bekas pemain nasional Singapura Malek Awab, Jai Prakash, and E. Manimohan.
Sebelum kesalahan rasuah itu, Kannan merupakan penyerang yang disegani dan mewakili Singapura di Sukan SEA 1981 dan 1983, memenangi pingat perak dalam temasya pada 1983 itu.
Beliau juga mewakili Singapura dan Kuala Lumpur dalam liga Malaysia dan Piala Malaysia, memenangi anugerah but emas pada 1987 setelah menjaringkan gol terbanyak musim itu serta memenangi mahkota liga dan Piala Malaysia pada 1989 bagi Kuala Lumpur.
Pada 1995, Kannan dihukum penjara setahun dan denda $40,000 atas satu tuduhan subahat, dan penjara 18 bulan serta denda $5,000 kerana rasuah. Secara keseluruhan, dia dijel tidak kurang 14 bulan dan dibebaskan pada 1997.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg