Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belum pasti lagi jika Djokovic dapat aksi di Terbuka Aust

Jan 12, 2022 | 5:30 AM
CETUS KEKECOHAN: Penyokong pemain tenis Serbia Novak Djokovic berhimpun di luar Hotel Park, tempat bintang itu dipercayai ditahan semasa beliau berada di Melbourne, Australia. - Foto REUTERS
CETUS KEKECOHAN: Penyokong pemain tenis Serbia Novak Djokovic berhimpun di luar Hotel Park, tempat bintang itu dipercayai ditahan semasa beliau berada di Melbourne, Australia. - Foto REUTERS -

MELBOURNE: Novak Djokovic bangkit dari lena semalam sebagai pemain tenis yang kini bebas dari tahanan imigresen di Australia - hampir seminggu selepas beliau tiba di negara itu.

Namun, Djokovic masih boleh ditahan oleh pihak berkuasa di Australia buat kali kedua dan dihantar pulang, walaupun keputusan mahkamah telah menerbalikkan keputusan pemerintah untuk membatalkan visa warga Serbia itu.

Penahanan Djokovic, pemain nombor satu dunia - disebabkan status vaksinasi dan isu visa yang diberikan kepadanya - menarik perhatian yang tidak diingini kepada Terbuka Australia, menjelang permulaan kejohanan tenis Grand Slam itu pada minggu depan.

Kelmarin, Djokovic memasuki gelanggang latihan beberapa jam selepas memenangi kes mahkamah itu dan mengucapkan terima kasih kepada hakim yang membebaskan beliau daripada tahanan imigresen dan menyatakan beliau kekal fokus untuk menang kejuaraan tenis utama yang ke-21 di Terbuka Australia minggu depan.

"Saya gembira dan sangat berterima kasih kerana hakim telah menarik balik pembatalan visa saya," ujar Djokovic, menulis di Twitter. Beliau telah menerbitkan gambar beliau di sebuah gelanggang di Melbourne Park.

"Meskipun selepas apa yang telah berlaku, saya mahu kekal di sini dan cuba bersaing di Terbuka Australia."

Nasib Djokovic menarik perhatian antarabangsa dan telah menimbulkan perbalahan politik antara Canberra dengan Belgrade, sementara mencetuskan perdebatan hangat mengenai dasar wajib vaksin Covid-19.

Pejabat Menteri Imigresen, Encik Alex Hawke, kelmarin berkata ia masih mempertimbangkan sama ada menggunakan kuasa budi bicara atau discretionary powers di bawah Akta Imigresen untuk membatalkan visa Djokovic buat kali kedua.

Namun, bekas pemain tenis profesional yang kini menganggotai Parti Liberal, John Alexander, berkata adalah satu kesilapan bagi Encik Hawke untuk menggunakan kuasa budi bicara untuk menghantar pulang pemain Serbia itu.

Berbuat sedemikian akan "mengecilkan" status Terbuka Australia, kata Alexander.

Badan pentadbir tenis lelaki, ATP, memuji keputusan mahkamah, dan menyatakan perbalahan itu "menjejas semua aspek, termasuk kesejahteraan Novak dan persiapan bagi Terbuka Australia".

ATP berkata ia menyokong peraturan ketat vaksinasi Australia tetapi menambah situasi itu menekankan keperluan untuk pemahaman dan komunikasi yang lebih jelas mengenai peraturan tersebut.

Ia berkata ia amat menggalak semua pemain untuk mendapatkan vaksin dan menyatakan 97 peratus daripada 100 pemain terbaik dunia sudah divaksin. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg