Subuh
5:31
Syuruk
6:54
Zuhur
12:57
Asar
4:20
Maghrib
6:57
Isyak
8:12

Benzema harap menang Ballon d'Or

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Sukan
30
0

LIGA JUARA-JUARA EROPAH

Benzema harap menang Ballon d'Or

May 31, 2022 | 05:30 AM

PARIS: Karim Benzema semakin hampir menjadi pilihan utama untuk memenangi anugerah Ballon d'Or selepas kemenangan Real Madrid dalam Liga Juara-Juara baru-baru ini.

Penyerang berusia 34 tahun itu, yang berjaya menjaring 44 gol dalam 46 perlawanan musim ini, mungkin akan menjadi pemain tertua kedua dalam sejarah anugerah itu selepas pemain Blackpool, Stanley Matthews, yang memenanginya di usia 41 tahun pada 1956.

Benzema hampir menjaringkan gol dalam kemenangan 1-0 ke atas Liverpool, namun ianya dibatalkan kerana ofsaid.

"Sudah tentu," kata Benzema kepada Canal Plus apabila ditanya jika beliau ada memikirkan tentang Ballon d'Or - anugerah yang dianjurkan bola sepak Perancis yang diberikan setiap tahun bagi mengiktiraf pemain terbaik dunia.

"Sekarang saya akan menyertai pasukan kebangsaan tetapi saya tidak fikir saya boleh melakukan lebih banyak lagi dengan kelab saya. Kita akan lihat apa yang berlaku, tetapi dalam apa jua keadaan saya bangga dengan apa yang telah saya lakukan."

Beliau menambah: "Mari kita lihat apa yang akan berlaku. Saya mempunyai trofi dan saya tidak mempunyai apa-apa lagi (untuk dibuktikan) di atas padang. Yang penting ialah menikmati segala yang telah saya kecapi."

Legenda bola sepak Perancis, Thierry Henry, bercakap kepada stesen televisyen Amerika Syarikat, berkata:

"Saya hanya ingin mengatakan sesuatu kepada Bola Sepak Perancis atau sesiapa sahaja yang menonton - tutup undian. Benzema telah memenanginya."

Terdapat satu hujah yang agak mudah mengapa Benzema menjadi pilihan untuk memenangi Ballon d'Or 2022 pada 17 Oktober nanti - beliau adalah pemain bintang untuk pasukan terbaik di Eropah.

Real Madrid menjuarai La Liga dan Liga Juara-Juara - dan Benzema merupakan penjaring terbanyak dalam kedua-dua pertandingan itu.

Beliau menjaringkan 27 gol dalam aksi liga Perancis dan 15 gol di Liga Juara-Juara.

Beliau menjaringkan hatrik di padang sendiri menentang Paris St-Germain dan satu lagi ketika menentang Chelsea, ditambah dengan gol kemenangan menentang Manchester City pada pusingan separuh akhir.

"Tiada apa lagi yang perlu dipertikaikan. Jika Benzema tidak mendapatnya, itu akan menjadi satu penghinaan," kata bekas pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand.

Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, pula berkata: "Kami bergantung kepada Benzema. Karim adalah penyerang moden dan (melakukan) apa yang diperlukan penyerang - segala-galanya, termasuk kerja pertahanan.

"Beliau menjadi contoh yang terbaik tentang apa yang diperlukan sebagai seorang penyerang dalam bola sepak hari ini."

Dua trofi penjaring terbanyak yang dimenangi Benzema musim ini adalah yang pertama bagi dirinya sejak memenangi But Emas Ligue 1 pada 2007-08, apabila beliau menjaringkan 20 gol untuk juara Lyon ketika berusia 20 tahun.

Sebelum perlawanan pada hujung minggu lalu, ramai pengamat dan peminat bola sepak membuat spekulasi bahawa pemenang perlawanan akhir Liga Juara-Juara boleh menentukan pemenang Ballon d'Or.

Pemain Liverpool, Sadio Mane memenangi Piala Negara Afrika bersama Senegal - dan Mohamed Salah memenangi But Emas Liga Perdana England yang ketiga dalam kerjayanya.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, apabila ditanya sebelum perlawanan sama ada pemenang perlawanan akhir boleh merangkul trofi individu itu, beliau berkata:

"Apabila anda fikirkan tentang bagaimana pertandingan ini diputuskan, jawapannya mungkin ya.

"Begitulah hakikatnya apabila kita melihat pemenangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia pasti akan meningkatkan peluang."

Benzema telah dicalonkan beberapa kali - dan pastinya akan berada dalam senarai pendek yang bakal diumumkan pada 12 Ogos - tetapi beliau tidak pernah menamatkan saingan dalam senarai tiga pemain teratas.

Jika beliau berjaya merangkul anugerah Ballon d'or ini, Benzema akan menjadi pemain Perancis pertama sejak Zinedine Zidane - bekas pengurus Benzema di Real Madrid - yang dimenanginya pada 1998. - Agensi berita.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3