Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BELASUNGKAWA BEKAS PEMAIN SINGA MOHAMAD NOH HUSSAIN

Berpulangnya seorang permata bola sepak negara

Segenap lapisan peminat bola sepak tanah air beri penghormatan kepada Mat Noh, pemain handal yang tidak pernah anggap dirinya bintang
Sep 21, 2021 | 05:30 AM



DARIPADA tokoh politik dan para pemain pasukan Singa dulu dan sekarang, hinggalah kepada wartawan sukan dan peminat bola sepak negara, penghormatan yang dikalungkan buat Allahyarham Mohamad Noh Hussain tidak putus-putus sejak berita pemergiannya semalam dilaporkan.



Bekas pemain sayap Singapura itu telah meninggal dunia pagi semalam, sehari selepas mengalami serangan jantung pagi kelmarin dan dimasukkan ke unit jagaan rapi (ICU) di Hospital Besar Sengkang.



Allahyarham berusia 67 tahun.



Pemain itu mengharumkan nama negara semasa menyarung jersi pasukan Singa pada 1970-an dan merupakan anggota pasukan Singa yang menjuarai Piala Malaysia pada 1977.



Beliau turut diingati atas gol kemenangannya, hasil tendangan penalti, yang memberikan negara kemenangan 1-0 ke atas Malaysia, antara pasukan handal pada waktu itu, di Stadium Kallang dalam pusingan pertama kelayakan Piala Dunia pada tahun yang sama.



Selain berbakat besar, Allahyarham Mohamad Noh juga popular dalam kalangan peminat dek wajahnya yang kacak.



Allahyarham menyarung jersi pasukan nasional selama kurang 10 tahun, menarik diri pada 1981 selepas kekalahan Singapura di tangan Selangor dalam Piala Malaysia pada 1981.



Beliau kemudian terus 'hilang' daripada dunia glamor bola sepak, dan memilih laluan hidup yang lebih privet selain aktif dalam kegiatan-kegiatan keagamaan.



Meskipun tempohnya bersama skuad nasional singkat, namun beliau meninggalkan legasi dalam bola sepak setempat yang tiada tolok bandingnya.



Mantan jurulatih pasukan Singapura Jita Singh, yang pernah melatih Allahyarham dalam skuad nasional pada 1980 hingga 1981, menganggapnya "seorang pemain bola sepak yang berakhlak tinggi dan sopan santun".



"Dia telah menyumbang banyak (kepada bola sepak Singapura) dan sumbangannya adalah antara yang terbaik, dan boleh dibandingkan dengan legenda bola sepak lain seperti Dollah (Kassim)," kongsinya.



Ramai pemain yang lebih muda daripada beliau berkata Allahyarham tidak banyak bercakap, namun beliau tidak pernah lokek senyuman, kata-kata perangsang dan nasihat.



Bekas penjaga gawang pasukan negara Yakob Hashim memberitahu Berita Harian (BH):



"Arwah selalu beri nasihat dan tak lokek ilmu dalam mengajar pemain yang baru membangun...Kenangan yang tidak akan saya lupa adalah ketika duduk sebilik dengannya. Beliau selalu nasihat yang baik-baik tentang kehidupan dunia dan akhirat."



Seorang lagi legenda bola sepak negara, pemain midfield, Malek Awab, terhutang budi dengan Allahyarham yang banyak membantunya sewaktu tempoh beliau bersama pasukan nasional.



"Dia seorang yang baik...tidak pernah katakan 'tidak' pada saya. Ketika saya berlatih dengan pasukan nasional, tiap-tiap pagi dia akan ambil saya dari Bedok dan tumpangkan saya untuk ke padang latihan," kata Malek.



"Dia antara pemain bola sepak terbaik di Singapura."



Bekas kapten Singa, Fandi Ahmad pula berkata:



"Allahyarham ialah seorang pemain bola sepak elegan, seorang penghibur dengan kemahirannya menggelecek yang amat menakjubkan.



"Sebab itulah beliau diberi gelaran Allan Clarke (pemain bola sepak England) Singapura, dan saya akan selamanya berterima kasih kepada arwah kerana tidak pernah lokek beri saya nasihat. Bila saya baru menjadi pemain nasional pula, beliau yang mengambil saya dan arwah Razali (Alias) dari perhentian bas berhampiran rumah kami, untuk tumpangkan kami ke latihan (nasional pada) waktu pagi."



Mantan Editor Sukan akhbar ini Saparin Rasikin, pula mengingati Allahyarham sebagai seorang "berhati lembut dan tidak meninggi diri walaupun merupakan salah seorang pemain handalan pasukan nasional".



"Kecekapannya mengawal bola sambil berlari di bahagian sayap kanan amat dikagumi...beliau antara pemain handal generasinya, tapi sungguh berendah hati, tidak pernah menganggap dirinya seorang bintang," kata Encik Saparin, yang mengenali Allahyarham sejak zaman belianya di Burnley United.



Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dalam catatan di Facebook turut mengongsi kenangan manis beliau mengenai Allahyarham.



"Kemahiran mempesona Mat Noh dan rakan sepasukannya meninggalkan kenangan abadi untuk generasi saya," ujarnya.



Pembaca BH turut membanjiri ruang komen Facebook akhbar ini, memberikan penghormatan mereka kepada Allahyarham.



"Kita kehilangan satu permata bola sepak. Sangat baik orangnya, luhur budi bicara, lemah lembut dengan adab tatasusila yang tiada tolok bandingnya dan amat merendahkan diri," kata Encik Rafee Maksudi.



Encik Abdul Rahim pula menulis:



"Pernah mendapat julukan seperti cara bermain pemain 'Allan Clarke @Leeds United' pada tahun 70-an... Suatu kehilangan 'permata legenda' arena bola sepak tanah air."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >