Topik diikuti
Pergi ke BHkuBH, legenda skuad Singa anjur kem bola sepak sempena BH70
BH, legenda skuad Singa anjur kem bola sepak sempena BH70
Berita Harian (BH) bekerjasama dengan Singa Legends untuk menganjurkan kem bola sepak bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 13 tahun sempena sambutan ulang tahun ke-70 BH.
Kem Bola Sepak BH–Singa Legends itu akan berlangsung pada 24 dan 25 November di Our Tampines Hub (OTH), dan peserta berpeluang belajar daripada legenda bola sepak negara seperti Fandi Ahmad, Nazri Nasir, Aleksandar Duric, S. Subramani dan Steven Tan
Sebanyak 40 tempat dikhaskan bagi kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan dan hasil kutipan acara tersebut akan disumbangkan kepada badan amal.
Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata kerjasama itu sebahagian daripada usaha BH menyumbang kembali kepada masyarakat yang telah menyokong akhbar tersebut selama hampir tujuh dekad.
Beliau berharap BH akan terus relevan dan memainkan peranan bermakna dalam kehidupan masyarakat, khususnya generasi muda.
Pengerusi Singa Legends, Encik Farehan Hussein, pula berharap kem itu dapat memberi inspirasi kepada peserta untuk mengejar impian mewakili negara suatu hari nanti.
Singa Legends adalah sebuah pertubuhan tidak mencari keuntungan yang dianggotai bekas pemain bola sepak negara.
Penganjuran kem itu sejajar dengan tema BH70, Kisah Kita, yang meraikan perjalanan bersama masyarakat sambil membuka peluang kepada generasi muda mencipta kisah kejayaan mereka sendiri.
Ikuti platform media sosial Berita Harian Singapura dan Instagram Singa Legends untuk maklumat lanjut.