Topik diikuti
Pergi ke BHkuBintang Arsenal, Gabriel azam bantu Brazil perkukuh benteng pertahanan
Bakal bimbing rakan sepasukan lebih muda apabila lawan Jepun dan S’pura
Bintang Arsenal, Gabriel azam bantu Brazil perkukuh benteng pertahanan
Daripada Pele dan Romario sehingga kepada Ronaldo, Ronaldinho dan Neymar, Brazil tidak pernah ketandusan bintang di barisan serangan mereka.
Namun, kelebihan bakat di bahagian depan itu menyebabkan skuad Selecao sering dikaitkan dengan perumpamaan ‘selimut singkat’ yang merujuk kepada situasi apabila selimut singkat ditarik ke atas untuk menutupi kepala, bahagian kaki terbiar kesejukan.
Dalam konteks bola sepak, ia memberi gambaran bagaimana kebergantungan tinggi terhadap kehebatan penyerang untuk memenangi perlawanan akhirnya membuatkan benteng pertahanan pasukan rapuh serta mudah dibolosi lawan.
Namun, skuad Brazil edisi 2026 ini dilihat berpotensi membentuk pasukan yang akhirnya mampu menyelesaikan ketidakseimbangan tersebut.
Tonggak utama di sebalik perubahan ini ialah Gabriel Magalhaes – juga dikenali sebagai Gabriel sahaja – pemain pertahanan skuad kebangsaan Brazil dan Arsenal.
Menerusi kehadiran pemain berusia 28 tahun itu, Brazil boleh dikatakan memiliki antara pertahanan tengah terbaik dalam dunia bola sepak.
Benteng pertahanan The Gunners merupakan antara yang paling kebal di Eropah, malah mereka menjuarai Liga Perdana England (EPL) musim lalu dengan hanya dibolosi 27 gol dalam 38 perlawanan, serta berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos dalam separuh daripada aksi tersebut.
Namun, Brazil masih berusaha untuk menambah baik aspek tersebut selepas hanya mencatat satu rekod tanpa bolos dalam lima perlawanan terakhir.
Justeru, skuad itu akan bergantung kepada pengalaman Gabriel bagi memperkukuh barisan pertahanan menjelang aksi menentang Jepun pada 14 November dan Singapura pada 17 November di Stadium Negara bagi kejohanan Cabaran Mizuho Blue.
Bercakap pada sidang media di W Singapore – Sentosa Cove pada 11 November, Gabriel berkata:
“Berlatih bersama Arsenal dan menyertai pasukan kebangsaan adalah dua perkara yang sangat berbeza… Di Arsenal, kami sentiasa bersama, berbincang dan berlatih setiap hari.
“Bersama pasukan kebangsaan, kami tidak mempunyai tempoh masa yang sama, namun kami berusaha untuk menjadi lebih kuat. Kami mempunyai barisan pemain pertahanan yang sangat baik di sini, dan kami akan cuba menonjolkan prestasi terbaik.
“Kami tahu bahawa jika kami tidak dibolosi, peluang untuk memenangi perlawanan adalah lebih cerah dan itulah perkara yang kami usahakan setiap hari, sama ada di atas padang mahupun menerusi perbincangan di luar padang. Perkara yang sama turut diterapkan bersama Brazil.
“... Kami juga mempunyai pemain baharu yang bermutu tinggi daripada kelab-kelab besar, dan kami ingin membina kekuatan yang sama dalam pasukan ini.”
Pengaruh Gabriel dalam skuad Brazil ini turut merangkumi peranannya sebagai pembimbing kepada rakan sepasukan yang lebih muda.
Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, berazam membentuk golongan pemain muda berkenaan sebagai benteng pertahanan generasi baharu Selecao.
Hal ini terbukti menerusi langkah pengurus itu menyenaraikan lima daripada sembilan pemain pertahanan berusia 23 tahun dan ke bawah dalam skuad yang dibawa ke Singapura.
Antara mereka termasuk pemain pertahanan Manchester City berusia 20 tahun, Vitor Reis, yang mempunyai dua penampilan antarabangsa.
“Saya amat gembira dapat menjadi sebahagian daripada era baharu pasukan kebangsaan Brazil ini,” kata Reis, yang menghabiskan musim lalu sebagai pemain pinjaman di kelab Sepanyol, Girona.
“Kami pemain muda berpotensi besar, dan semua orang di sini memberi kami ruang untuk beraksi serta membuktikan sebab kami (layak) berada di sini. Ia adalah impian yang menjadi kenyataan buat kami semua.”
Ketika ditanya mengenai perkara yang dipelajarinya daripada pemain senior dalam skuad Brazil, Reis berkata:
“Gabriel melakukan tugas yang luar biasa di kelabnya mahupun di sini.
“Ketika penampilan terdahulu saya (pada jendela antarabangsa September) bersama pasukan kebangsaan, saya juga beraksi bersama Marquinhos, yang menjadi idola saya sejak kecil.
“Bekerja dengan individu seperti mereka membantu anda tumbuh, memahami bola sepak dengan lebih baik serta membentuk peribadi anda, dan saya cuba belajar sebanyak mungkin daripada mereka.”