LONDON: Bintang bola sepak Liverpool, Kenny Dalglish, disahkan positif koronavirus tetapi tidak menunjukkan gejala penyakit itu, kata keluarganya semalam.
Penyerang antarabangsa Scotland berusia 69 tahun itu, yang memulakan kerjaya di Celtic, dimasukkan ke rumah sakit pada Rabu lalu (8 Apr) bagi satu jangkitan yang memerlukan antibiotik menerusi suntikan intravena.
"Beliau kemudiannya diuji untuk Covid-19 biarpun sebelum ini tidak menunjukkan gejala virus itu," menurut kenyataan yang diberikan keluarganya.
"Tanpa disangka, ujian itu positif dan beliau kekal tidak menunjukkan sebarang gejala atau tanda mengalami penyakit itu. Sebelum dimasukkan ke hospital, beliau sendiri telah memilih untuk mengasingkan diri bersama-sama keluarga bagi tempoh lebih lama dari yang dinasihatkan. Beliau menggesa semua orang untuk mematuhi panduan pakar dan pemerintah bagi hari-hari dan minggu-minggu mendatang," tambah kenyataan itu.
Dalglish memenangi kejuaraan liga Scotland sebagai pemain sebanyak empat kali sebelum menyertai Liverpool pada 1977.
Di Anfield, beliau memenangi liga England sebanyak lapan kali, tiga piala FA dan tiga Piala Eropah, sepanjang 13 tahun gemilang sebagai pemain dan dua kali sebagai pengurus.
Sepanjang masa bermain untuk Liverpool, beliau telah menjaringkan 172 gol dalam 515 perlawanan.
Selain peranannya semasa era keemasan Liverpool pada tahun-tahun 70-an dan 80-an, Dalglish menerima penghargaan atas sokongannya terhadap keluarga-keluarga mangsa tragedi di Stadium Hillsborough pada 1989 di mana 96 penyokong terkorban.
Dalglish juga membimbing Blackburn Rovers sehingga menjuarai Liga Perdana England pada 1995.
Dalglish yang telah mewakili Scotland dalam lebih 100 perlawanan antarabangsa, telah diberi penganugerahan oleh Ratu Elizabeth II pada 2018.
"Kenny ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada kakitangan kesihatan NHS, atas dedikasi, keberanian dan pengorbanan mereka kepada negara di masa mencabar ini. Beliau juga meminta mereka diberi ruang untuk melakukan kerja mereka di masa genting ini dan permintaan keluarganya sendiri agar tidak diganggu dihormati. Beliau berharap untuk pulang segera. Kami akan memberi perkembangan sekiranya wajar," tambah kenyataan keluarga Dalglish lagi.
Koronavirus telah meragut nyawa hampir 9,000 orang di Britain, sedang jumlah kes positif kini mencecah hampir 74,000 orang. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg