Topik diikuti
Pergi ke BHkuBintang ‘streetball’ Canada, MK batalkan cabaran 1x1 di Chinatown dek terlalu ramai orang
Bintang ‘streetball’ Canada, MK batalkan cabaran 1x1 di Chinatown dek terlalu ramai orang
Bintang ‘streetball’ Canada, MK batalkan cabaran 1x1 di Chinatown dek terlalu ramai orang
Pempengaruh bola keranjang dari Canada, Matt Kiatipis, berkunjung ke Chinatown pada 6 Oktober untuk mencari pencabar, namun terpaksa meninggalkan kawasan itu tanpa sebarang cabaran selepas sambutan yang diterima melampaui jangkaannya.
Ratusan peminat tegar memenuhi gelanggang bola keranjang di bumbung Chinatown Complex.
Kehadiran terlalu ramai orang sehingga melimpah masuk ke dalam gelanggang menyebabkan cabaran terbuka satu lawan satu atau 1x1 itu tidak dapat diteruskan.
Kiatipis, yang lebih dikenali dengan panggilan MK, hanya sempat membuat beberapa jaringan sebelum mengambil keputusan untuk membatalkan acara tersebut.
Sesetengah peminat sanggup memanjat pagar di sekeliling gelanggang semata-mata untuk melihat selebriti dalam talian itu dari dekat, manakala yang lain berkumpul di ruang tangga blok HDB berhampiran untuk mendapatkan pandangan yang lebih jelas.
Laungan “MK, MK, MK” bergema sebaik sahaja beliau tiba di kawasan berkenaan sambil diiringi pegawai keselamatan.
Pihak polis turut dikerahkan ke lokasi berikutan jumlah orang yang terlalu ramai.
Para peminat telah berkumpul lebih awal sebelum waktu pertemuan pada 6.30 petang, selepas beliau mendedahkan lokasi berkenaan menerusi Instagram ‘stories’nya pada tengah hari.
Kiatipis, 26 tahun, memberitahu The Straits Times (ST):
“Ini merupakan hari pertama (saya) di Singapura dan kami sepatutnya bermain, tetapi keadaan hari ini agak luar biasa hingga kami tidak dapat meneruskan perlawanan.
“Terlalu ramai yang hadir ke acara di Chinatown hari ini. Suasananya cukup indah, ramai yang teruja, dan semuanya membawa tenaga yang sangat positif. Malangnya, ruang di gelanggang bumbung ini agak terhad.
“Polis Singapura sangat baik. Mereka mengendalikan situasi ini dengan cukup baik. Mereka benarkan kami bermain dan hanya memberitahu bahawa mereka tidak mahu ada sesiapa yang tercedera serta ingin pastikan ada ruang yang mencukupi dan semua orang dapat berseronok.”
Kiatipis mengakui kehadiran orang ramai itu sememangnya di luar jangkaannya.
“Setiap kali saya mengumumkan acara pada hari yang sama, kebiasaannya paling ramai pun sekitar 100 orang sahaja yang datang, walaupun di negara yang lebih besar daripada Singapura.
“Jadi mengikut anggaran itu... Saya memang tidak jangka ramai yang akan datang pada hari acara ini.
“Matlamat saya adalah untuk melihat seberapa ramai pemain tempatan beraksi – saya mahu saksikan bakat warga Singapura.
“Sebab itulah saya agak terkilan hari ini kerana terlalu ramai orang berkerumun dan saya cuma ingin sediakan ruang bagi atlet-atlet Singapura beraksi.”
Kiatipis, yang berasal dari Newmarket, Ontario, mempunyai lebih 5 juta pengikut di Instagram dan TikTok menerusi video beliau berdepan pencabar dalam perlawanan satu lawan satu di gelanggang terbuka di serata dunia.
Beliau pernah bermain dalam bola keranjang kolej di Universiti Simon Fraser, Canada, sebelum berpindah ke sebuah sekolah di Amerika Syarikat, di mana musim perlawanannya terpaksa dipendekkan akibat pandemik Covid-19.
Kiatipis kemudian bermain secara profesional di Costa Rica sebelum beralih ke bidang penciptaan kandungan dalam talian.
Sejak itu, Kiatipis menjadikan misi utamanya untuk menjadikan bola keranjang satu lawan satu sebagai sukan tersendiri, berbeza daripada format tradisional lima lawan lima (5x5) dan tiga lawan tiga (3x3).
“Saya ingin menyatukan masyarakat menerusi sukan baharu ini, iaitu satu lawan satu. Sebelum ini, kita bermain perlawanan jalanan 5x5, jadi saya permudahkannya kepada satu lawan satu supaya lebih ramai orang dapat bermain.”
Sebelum persinggahan keduanya dalam jelajah Asia di Singapura, Kiatipis berada di Jakarta dari 1 hingga 3 Oktober, di mana beliau menganjurkan klinik latihan dan menentang pemain tempatan dalam acara streetball ‘King of Ballers’.
Meskipun tidak dapat meneruskan cabaran satu lawan satu di Chinatown, Kiatipis merancang untuk menganjurkan beberapa lagi acara sebelum meninggalkan negara ini.
“Kami ingin menganjurkan beberapa lagi acara di Singapura sepanjang berada di sini. Kami sepatutnya berada di sini sehingga 9 Oktober sahaja, tetapi kami sedang pertimbangkan untuk melanjutkan tempoh itu untuk bermain.
“Mungkin dua atau tiga lagi acara... Dan memandangkan kami sudah tahu sambutan yang diterima begitu hangat, kami mahu menjemput lebih ramai lagi peminat. Namun, pada masa yang sama, kami perlu pastikan ada ruang mencukupi untuk menjayakan cabaran satu lawan satu ini,” ujar beliau.