ZURICH: Bekas presiden Fifa, Sepp Blatter (gambar), berkata keputusan untuk menganugerahkan Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022 merupakan "satu kesilapan".

Blatter, 86 tahun, merupakan presiden badan pentadbir bola sepak dunia itu ketika Qatar dianugerahkan kejohanan itu pada 2010.

Negara Teluk itu telah dikritik di atas rekod hak asasi manusia, layanan terhadap pekerja asing serta pendiriannya terhadap hubungan jantina sejenis.

Blatter berkata beliau "betul" untuk mengatakan pada masa itu bahawa kejohanan itu "tidak sepatutnya pergi" ke Qatar pada 2022.

Warga Switzerland itu bercakap mengenai keputusan untuk menganugerahkan Piala Dunia kepada Qatar dalam siri podcast BBC Radio 5 Live yang akan datang, Power Play - The House of Sepp Blatter.

Dalam satu wawancara bersama akhbar Switzerland, Tages-Anzeiger, Blatter menambah Qatar "negara terlalu kecil" untuk menganjurkan kejohanan itu dan "bola sepak dan Piala Dunia adalah terlalu besar untuknya".

Piala Dunia Qatar, yang pertama diadakan di Timur Tengah dalam sejarah 92 tahun kejohanan itu dan yang pertama semasa musim sejuk Hemisfera Utara, berlangsung dari 20 November hingga 18 Disember.

Jawatankuasa eksekutif Fifa mengundi 14-8 untuk memberi hak penganjuran kepada Qatar, mengatasi Amerika Syarikat dalam sidang Fifa 12 tahun lalu, pada masa yang sama Russia dianugerahkan bagi edisi 2018 acara tersebut.

Blatter berkata beliau mengundi Amerika dan menyalahkan presiden Uefa ketika itu, Michel Platini, kerana mengalihkan undi untuk memihak kepada Qatar.

"Ia pilihan yang salah dan saya bertanggungjawab baginya sebagai presiden pada ketika itu," katanya.

"Disebabkan empat undi Platini dan pasukannya (dari Uefa), Piala Dunia memihak kepada Qatar berbanding Amerika."

Blatter juga berkata Fifa telah menyelaras kriteria yang digunakan untuk memilih negara tuan rumah pada 2012 selepas timbul kebimbangan mengenai layanan pekerja asing yang membina stadium Piala Dunia di Qatar.

"Sejak itu, pertimbangan sosial dan hak asasi manusia diambil kira," tambahnya.

Blatter menghabiskan 17 tahun sebagai presiden Fifa tetapi terpaksa berundur pada 2015 atas dakwaan rasuah selepas beliau secara tidak sah mengatur pemindahan 2 juta franc Swiss ($2.84 juta) kepada Platini, yang juga terpaksa meletakkan jawatannya dalam Fifa.

Beliau pada asalnya dilarang daripada menceburi arena bola sepak oleh Fifa selama lapan tahun tetapi kemudian dikurangkan kepada enam tahun. Pada Mac 2021, beliau menerima larangan tambahan sehingga 2028 kerana "pelbagai pelanggaran" kod etika Fifa. - Agensi berita.