Topik diikuti
Pergi ke BHkuBola sepak England lancar langkah cegah taktik ‘timeout’ penjaga gol
Bola sepak England lancar langkah cegah taktik ‘timeout’ penjaga gol
Langkah beri isyarat perlu rawatan peluang bagi rakan pasukan bincang strategi
Bola sepak England lancar langkah cegah taktik ‘timeout’ penjaga gol
LONDON: Bola sepak England bakal melaksanakan satu tempoh percubaan pada musim 2026/27 dalam usaha membanteras taktik lengah masa atau ‘tactical timeout’ oleh penjaga gawang.
Langkah itu telah dipersetujui oleh Persatuan Bola Sepak (FA), Liga Perdana England (EPL), Liga Bola Sepak England (EFL), Liga Nasional serta Liga Super Wanita (WSL), selepas mendapat kebenaran daripada Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Ifab).
Badan pengadil profesional, Pro Ref yang diketuai oleh ketua pegawai pengadilannya, Howard Webb, sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan pihak liga untuk menentukan cara menangani isu berkenaan.
Mereka akhirnya memutuskan bahawa pasukan terbabit perlu mengeluarkan seorang pemain padang.
Jika pengadil memberikan isyarat membenarkan ahli perubatan masuk ke padang untuk merawat penjaga gawang, jurulatih pasukan tersebut mempunyai masa 10 saat untuk menamakan seorang pemain lain untuk keluar dari padang selama satu minit selepas perlawanan disambung semula.
Pilihan tersebut perlu dimaklumkan kepada pengadil perlawanan keempat.
Sekiranya tiada pemain yang dipilih dalam tempoh 10 saat itu, kapten pasukan secara automatik wajib keluar dari padang.
Perlawanan pertama yang bakal menyaksikan percubaan peraturan baharu ini adalah aksi pusingan awal Piala Carabao antara Tranmere dengan Rochdale pada 1 Ogos.
Difahamkan bahawa Liga-A Australia juga akan menguji variasi peraturan ini, di mana kapten pasukan ditetapkan sebagai individu yang sentiasa perlu meninggalkan padang.
Taktik mendapatkan ‘timeout’ ketika penjaga gawang dirawat semakin kerap digunakan dan mencetuskan kontroversi sejak kebelakangan ini.
Sudah menjadi pemandangan biasa di mana penjaga gawang sengaja duduk di padang dan memberi isyarat memerlukan rawatan, membolehkan semua rakan sepasukan yang lain menuju ke kawasan teknikal untuk mendengar taklimat pasukan.
Sebaik sahaja jurulatih selesai menyampaikan arahan, penjaga gawang tersebut akan bangun semula untuk meneruskan permainan.
Tindakan merawat penjaga gawang itu juga kerap digunakan untuk mengganggu momentum pasukan lawan yang sedang menguasai rentak perlawanan.
Pada November 2025, jurulatih Leeds United, Daniel Farke, menuduh penjaga gawang Manchester City, Gianluigi Donnarumma, berpura-pura cedera untuk “memanipulasi peraturan” dan mengganggu rentak permainan.
Sementara itu, Ifab telah mengeluarkan penjelasan berhubung peraturan salah identiti selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menggunakannya untuk mendenda dua pemain kerana melakukan kesalahan simulasi – iaitu berpura-pura dikasari – semasa Piala Dunia 2026.
Pemain Paraguay, Miguel Almiron, dan Breel Embolo dari Switzerland kededuanya dilayang kad merah. Embolo yang sudah pun dilayang satu kad kuning sebelum itu, akhirnya dikeluarkan padang apabila pasukannya ditewaskan Argentina 1-3 pada 12 Julai.
Menurut Ifab, walaupun peraturan tersebut diterima baik dan akan dimasukkan dalam semakan terperinci protokol video pembantu pengadil (VAR), ia “tidak boleh digunakan seperti itu sehinggalah proses semakan berkenaan selesai sepenuhnya”. – Agensi berita.