Topic followed successfully
Go to BHkuBola sepak Liberia kekal malap lepas bekas bintang Weah jadi presiden
Bola sepak Liberia kekal malap lepas bekas bintang Weah jadi presiden
Bola sepak Liberia kekal malap lepas bekas bintang Weah jadi presiden
LIBERIA: Apabila pemenang anugerah pemain bola sepak terbaik dunia Ballon d'Or dilantik sebagai presiden negara itu, kebanyakan warga Liberia menjangka nasib mereka di padang bola akan berubah.
Selepas empat setengah tahun, pihak berkepentingan masih lagi mengharap agar George Weah dapat membantu mereka mengatasi masalah yang kian bertimbun dan menaikkan permainan nasional itu ke peringkat selanjutnya.
Bekas pemain berusia 55 tahun itu dilantik sebagai Presiden Liberia pada Januari 2018 - dengan janji beliau akan membantu mengubah ekonomi negara itu, menentang rasuah, membaiki pendidikan dan jagaan kesihatan, dan menghasilkan ribuan pekerjaan bagi golongan susah.
Sesetengah penyokong Weah percaya masalah kewangan pasukan bola sepak negara itu serta kurangnya pembangunan, prasarana dan pelaburan berpunca daripada ekonomi lemah negara Afrika Barat itu.
"Pemerintah mempunyai keutamaan lain, seperti pendidikan, cabaran yang dihadapi sektor kesihatan," kata pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Liberia, Henry Browne, kepada BBC Sports Africa.
"Pada 1980-an dan 1990-an, setiap entiti pemerintah menyalurkan wang dalam bola sepak - sesuatu yang berbeza hari ini. Kami masih di belakang dalam sokongan kewangan yang mencukupi. Jangkaan tinggi ke atas pemerintah dalam sektor lain, tapi saya fikir ia perlu meningkatkan sokongan agar kita dapat mula bersaing."
Ramai menjangka Weah akan berjaya seperti kejayaan yang dikecapinya semasa menjadi pemain bola sepak. Bekas penyerang Liberia itu menempah nama di Eropah semasa bermain dengan Monaco, Paris St-Germain dan AC Milan sebelum bermain seketika di Manchester City dan Chelsea.
Pada malam pelantikannya, ketua Persatuan Bola Sepak Liberia, Musa Bility, menjangka masa depan cerah bagi bola sepak negara itu.
Apatah lagi Weah berjanji akan mengubah kehidupan warga Liberia dan menjadikan itu misi utama beliau sebagai presiden.
Bility juga anggota jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), namun digantung 10 tahun oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada Julai 2019 akibat melanggar kod etika.
Liberia terjebak dalam perang sivil pada 1990-an, tetapi pasukan bola sepak nasionalnya masih mempunyai hari-hari memberangsangkan.
Weah membawa pasukan itu ke final Piala Afrika pada 1996 dan 2002.
Semasa menjadi pemain beliau juga menabur khidmat selaku pengarah teknikal pasukan nasional antara 2000 dengan 2002.
Beliau melancarkan bidaan memimpin Persatuan Bola Sepak Liberia selepas persaraannya pada 2004 namun gagal. Beliau kemudian kembali menyertai politik setahun kemudian.
Sudah dua dekad sejak pasukan negara itu menyertai sebarang pertandingan besar dan stadium nasionalnya, kompleks sukan Samuel Kanyon Doe (SKD), merupakan salah sebuah tempat yang dianggap tidak sesuai untuk menganjurkan sebarang perlawanan antarabangsa oleh CAF dan Fifa Ogos lalu.
Liberia mempunyai peluang lebih baik untuk masuk ke final Piala Negara-Negara di Ivory Coast pada 2024, dengan kumpulan kelayakan mereka dikurangkan kepada tiga pasukan selepas Zimbabwe dikeluarkan. - Agensi berita.

