PERSIAPAN untuk Sukan SEA 2025 bermula serta-merta, kata jurulatih pasukan nasional bola sepak wanita Singapura, Karim Bencherifa.
Skuad Singa wanita hampir mencipta sejarah dalam Sukan SEA 2023 di Kemboja bagi menempah tiket pertama negara ke separuh akhir temasya sukan dwitahunan itu.
Bagaimanapun, dua kekalahan berturut-turut - 0-4 kepada juara lima kali Sukan SEA Thailand dan 0-1 di tangan pasukan tuan rumah Kemboja - menyingkirkan Singapura daripada kejohanan.
Pada Selasa, Singapura meraih kemenangan sagu hati 2-1 menentang Laos di Stadium Army.
Jaringan dua penyerang Nicole Lim dan Izzati Rosni menyumbang kepada tiga mata penuh pertama Singapura di Sukan SEA 2023.
Dengan kemenangan tunggal itu, skuad Singa wanita menamatkan kempen mereka di Kemboja menduduki tempat ketiga daripada empat pasukan dalam Kumpulan B.
Ditemui media Singapura selepas kemenangan pada Selasa, Bencherifa, 55 tahun, memuji usaha anak didiknya.
Bahkan, warga Maghribi itu sudah memandang ke hadapan dan menantikan persaingan dalam edisi Sukan SEA seterusnya di Bangkok, Thailand.
"Lebih banyak penambahbaikan yang pasukan ini perlukan. Tetapi, kami semakin berkembang selepas setiap perlawanan," kata Bencherifa, yang dilantik memimpin pasukan wanita negara pada 1 Mac.
Bencherifa menambah bahawa Singapura mempunyai pemain yang berbakat dan beliau merancang memanggil beberapa pemain daripada skuad bawah 16 dan 19 tahun untuk menyertai pasukan senior.
Meskipun nyaris terlepas ke kelompok empat pasukan terbaik Sukan SEA 2023, Bencherifa berkata kekecewaan itu sewajarnya berlaku sekarang.
"Ya, kami rasa kecewa bahawa kami kini tersingkir. Tetapi, inilah masanya untuk rasa kecewa. Sekarang kita harus memandang ke depan untuk Sukan SEA seterusnya. Persiapan bagi Sukan SEA seterusnya bermula minggu depan," jelas beliau.
Pasukan Singa wanita tidak pernah ke separuh akhir sejak Sukan SEA 1985.
Pertandingan bola sepak pada tahun itu disertai tiga pasukan - pasukan tuan rumah, Thailand, Singapura dan Malaysia - dan Singapura memenangi pingat perak dalam pertandingan yang dijalankan mengikut format round-robin.
Singapura hanya kembali beraksi dalam Sukan SEA pada edisi lalu pada 2022 setelah berehat sejak 2003.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg