Memperkukuh ikatan bapa dan anak menerusi bola sepak.
Itulah matlamat Piala Bapa Sepanjang Hayat atau Dad’s for Life Cup, sebuah pertandingan melibatkan pasukan anak dan bapa yang selesai diadakan hujung minggu lalu.
Sejumlah 17 pasukan bertanding dalam tiga kategori – Veteran, Terbuka dan Belia – dalam pertandingan anjuran Pusat Kebapaan (CFF) itu.
Diminta mengulas, Ketua Penglibatan dan Jangkauan, CFF, Encik Eruandee Prayitna, berkata pertandingan yang dianjurkan buat julung-julung kali itu adalah acara penting dalam inisiatif Meraikan Bapa oleh gerakan Bapa Sepanjang Hayat, di bawah naungan pusat tersebut.
Daya usaha Meraikan Bapa bertujuan mengakui peranan penting yang dimainkan kaum bapa serta mengiktiraf perjalanan kebapaan itu sendiri.
“Untuk menekankan peranan penting bapa dalam kehidupan anak-anak mereka serta menghargai pengorbanan mereka untuk keluarga sempena Hari Bapa ini, Piala Bapa Sepanjang Hayat ini menyediakan peluang bagi kaum bapa kaki bola dan anak-anak serta keluarga mereka untuk mengeratkan hubungan menerusi sukan kegemaran mereka sama ada sebagai peserta mahupun penyokong,” ujar beliau.
Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Impart, sebuah pertubuhan tidak mencari untung.
Ia memberi tumpuan kepada menyokong belia, sebagai cara mereka memberi sokongan kepada gerakan Bapa Sepanjang Hayat yang diadakan sebagai sebahagian daripada acara Fiesta Keluarga Masyarakat.
Sebagai sebahagian daripada acara tersebut, akhbar Berita Harian (BH) juga telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Dad’s For Life.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg