Menjelang Sukan Asia 2018

Bolasepak tiada dalam senarai terkini Team Singapore ke Sukan Asia

 

SINGAPURA tidak akan berwakil dalam pertandingan bola sepak di Sukan Asia 2018, dengan anak didik Fandi Ahmad tidak dinamakan dalam senarai terkini Team Singapore yang diterbitkan pada Selasa (26 Jun)

Dalam makluman media yang dihantar oleh Majlis Sukan Olimpik Kebangsaan (SNOC), 30 atlit yang mewakili enam sukan diluluskan untuk bertanding oleh Jawatankuasa Rayuan Kejohanan Sukan SNOC, yang berhimpun pada hari sama.

Enam sukan ini adalah pencak silat, contract bridge, jujitsu, ragbi tujuh sepasuk, kapal layar dan sukan memanjat.

Ini bermakna Singapura akan menghantar 266 atlit yang mewakili 21 sukan ke kejohanan sukan empat tahunan yang berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 September 2018.

Bola sepak tidak disertakan dalam senarai asal 246 atlit yang diterbitkan oleh SNOC lewat bulan lalu.

Persatuan sukan kebangsaan diberi tempoh sehingga Jumaat lalu, untuk menyerahkan rayuan, yang perlu diiringi keputusan terkini yang dicapai oleh pasukan terlibat. Namun, jurucakap SNOC, menurut akhbar The Straits Times, berkata bahawa ia boleh memberi kelonggaran kepada atlit yang bertanding selepas tarikh yang ditetapkan.

Minggu lalu, pasukan bola sepak bawah 23 tahun nasional - yang berharap menjadi wakil Singapura dalam acara lelaki - tewas 2-0 kepada pasukan Myanmar dalam perlawanan persahabatan di Singapura.

SNOC perlu menyerahkan nama atlit Team Singapore kepada penganjur pada 30 Jun.

Di Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, Singapura mengakhiri pusingan kumpulan di tangga ketiga, di belakang Palestin dan Tajikistan, dan tidak mara ke pusingan selanjutnya.