Bolehkah Arsenal akhiri derita penyokong musim ini?
The Gunners berpeluang catat sejarah menang empat kejuaraan
Penantian mungkin satu penderitaan, terutama kali untuk penyokong Arsenal.
Namun musim ini, penantian itu mungkin berakhir dengan kegirangan.
Selepas hampir enam tahun dan empat kali gagal di peringkat separuh akhir, kemenangan agregat 4-2 Arsenal ke atas Chelsea dalam separuh akhir Piala Carabao atau yang lebih dikenali sebagai Piala EFL (EFL) pada 4 Februari bermakna anak didik Mikel Arteta kini melangkah ke final pertandingan utama pertama sejak 2020, dan dalam musim yang berpotensi menjadi begitu bersejarah.
Kali terakhir Arsenal menjulang trofi ialah pada 2020 semasa Arteta memimpin mereka mengatasi Chelsea dalam stadium kosong kerana pandemik Covid-19.
Perlawanan separuh akhir Piala Carabao kali ini berlangsung sengit, tegang dan adakalanya agak hambar.
Namun, tatkala Kai Havertz menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk mengesahkan tempat mereka di Wembley, kegembiraan meluap-luap daripada penyokong dan pemain di Emirates jelas menunjukkan kepentingannya.
Dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan masing-masing hanya mencatat dua percubaan, ‘The Gunners’, jarang kelihatan dalam kesulitan kerana mereka mempamerkan mutu yang menjadikan mereka sukar ditewaskan musim ini.
Hasilnya, ia bermakna Arsenal akan bersaing dalam perlawanan akhir Piala EFL kesembilan mereka apabila mereka berdepan dengan Manchester City pada Ahad, 22 Mac, selepas kelab itu pula membelasah Newcastle 5-1 melalui kiraan agregat, dalam separuh akhir kedua pada 5 Februari.
Ia sekali gus menjadi ulangan perlawanan akhir 2018 yang dimenangi oleh kelab Manchester itu, ketika Arteta menjadi sebahagian daripada kakitangan kejurulatihan Pep Guardiola.
Namun, selain daripada peluang untuk Arsenal menebus kekalahan itu dan memenangi Piala Liga pertama mereka dalam tempoh 33 tahun, ia juga akan menjadi langkah ke arah mengubah beberapa persepsi.
Ada suasana istimewa dalam Stadium Emirates
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, berkata: “Ada suasana istimewa di dalam stadium kami. Ia membawa perbezaan besar. Kami telah menunggu beberapa tahun untuk berada dalam kedudukan ini dan kami pasti akan menikmatinya (perlawanan akhir).
“Ia adalah vitamin terbaik yang boleh kami masukkan ke dalam badan kerana kami bermain setiap tiga hari.
“Namun, hakikat bahawa anda bekerja keras untuk mencapai detik-detik ini dan melalui detik-detik ini bersama adalah sesuatu yang ajaib
“Anda dapat melihat kegembiraan, senyuman, tenaga dan segala-galanya yang berkesan di kelab.”
Pemain tengah Arsenal, Declan Rice, menambah: “Kami layak. Dalam tempoh tiga atau empat tahun kebelakangan ini kami berada di puncak Liga Perdana, bersaing dan hampir berjaya tetapi belum cukup bagus.
“Itulah sebabnya musim ini kami mempunyai keinginan dan semangat tambahan untuk melangkah lebih jauh dalam setiap pertandingan.
“Perjalanan masih jauh tetapi berada di perlawanan akhir piala bersama kelab ini adalah luar biasa.”
Beberapa tahun kebelakangan ini, tempoh kepimpinan Arteta di Arsenal bagai ‘hampir menjadi juara namun tidak kesampaian’ sama ada dalam pertandingan domestik atau di Eropah.
Kini, hanya satu perlawanan sahaja menghalang mereka dalam usaha menamatkan kemarau trofi mereka.
Adakah pendahulu Liga Perdana itu akan membisukan pengkritik yang terlalu lama menuding jari dan mendakwa Arsenal semata-mata pasukan ‘hampir-hampir saja’.
Bekas pemain antarabangsa England, Matt Upson, memberitahu BBC Radio 5 Live: “Ia telah memakan masa beberapa tahun dan terdapat pembinaan yang mantap sehingga ke titik ini bagi Arsenal.
“Mikel Arteta telah meletakkan asas, membina etos, dan kebersamaan pasukan”.
Rentak hebat bagi Arsenal
Sejak memenangi Piala FA pada 2020, Arsenal telah melangkah ke empat separuh akhir – dan tewas kesemuanya.
Sepanjang tempoh itu, mereka tidak pernah berjaya memenangi mana-mana perlawanan, jadi menewaskan Chelsea di separuh akhir Piala Carabao menjadi dorongan psikologi yang besar – sama seperti terus mengangkat trofi pada Mac.
Dalam beberapa musim kebelakangan ini, Arsenal turut menyaksikan diri mereka kehilangan keyakinan penyokong sendiri dan biasanya mudah dikejar walau mendahului Liga Perdana.
Sebagai tindak balas, musim ini, penyokong setia Arsenal menuntut trofi secara lebih agresif daripada biasa.
Mereka akan mempunyai cita-cita lebih besar daripada Piala Carabao.
Namun, tiada sesiapa boleh menyangsikan bahawa kemenangan Piala Carabao mungkin mendorong kejayaan baki kempen mereka di Liga Perdana England, kata Upson semasa dihubungi BBC Radio 5 Live:
“Saya fikir penyokong sama-sama bersemangat seperti pemain dan pengurus untuk memenangi trofi utama. Mereka mahu juarai Liga Perdana, tetapi sokongan penyokong adalah sebahagian besar daripada mencapai matlamat itu.
“Adalah penting mereka memenangi separuh akhir (Piala Carabao). Adalah penting mereka memenangi trofi sekali lagi kerana mereka tidak cukup merasai kemenangan, memandangkan mereka telah bersaing sejak sekian lama.”
Pemain pertahanan Arsenal, William Saliba, berkata: “Ini kelab besar, jadi sentiasa ada banyak tekanan. Adalah baik apabila ada tekanan. Kami bermain bola sepak untuk itu.
“Kami mempunyai banyak perlawanan – ada empat bulan lagi. Kami mahu memenangi setiap pertandingan.
“Kami mempunyai skuad untuk mengejar kejayaan tersebut dan kami mempunyai jurulatih untuk berbuat demikian.”
Kata-kata Saliba mungkin berasas. Dengan tujuh daripada 12 pemenang Piala EFL yang lalu terus memenangi sekurang-kurangnya satu trofi lain dalam musim yang sama.
Bekas pemain tengah Liverpool, Jamie Redknapp, memberitahu Sky Sports:
“Mereka bersedia untuk menang. Mereka telah menderita selama bertahun-tahun tetapi kali ini mereka mungkin boleh menikmati kemenangan.
“Saya fikir mereka boleh mula tenang dan bermain. Apa yang telah mereka lakukan musim ini, ia adalah usaha yang luar biasa dan tiada sebab mereka tidak boleh menang, mungkin dua atau tiga trofi.”
Sejauh manakah The Gunners boleh melangkah?
Dengan musim berbaki 17 minggu sehingga perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah dan tanpa ia memenangi sebarang perlawanan, adalah terlalu awal untuk meramalkan sama ada Arsenal boleh memperolehi trofi berganda.
Arsenal bukan sahaja belum menang apa-apa dan mendahului EPL dengan sembilan mata sebelum Manchester City menentang Liverpool pada dini hari 9 Februari.
Pasukan Arteta akan menerima kunjungan pasukan divisyen lebih rendah – Wigan, dari League One – dalam pusingan keempat Piala FA dan sudah mara ke pusingan 16 pasukan Liga Juara-Juara.
Setelah memenangi kesemua lapan perlawanan mereka dalam fasa liga, Arsenal menduduki tempat teratas kumpulan.
Tiada pasukan Inggeris pernah memenangi ‘quadruple’ atau empat trofi buat masa ini.
Liverpool memenangi Divisyen Pertama, Piala Liga dan Piala Eropah pada 1984; City mencapai kejayaan domestik sepenuhnya pada 2018-19 dan menjadi kelab kedua selepas jiran mereka Manchester United pada 1998-99 untuk berjaya dalam Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA pada 2022-23.
Pada musim itu, City hanya tinggal tiga kemenangan daripada kejayaan menyeluruh yang sukar dicapai itu, manakala pasukan United yang paling hampir dengan keempat-empat trofi ialah pasukan 2008-09 mereka, yang memenangi Liga Perdana dan Piala Liga.
Manchester hampir mencapai ‘quadruple’ tetapi tewas kepada Everton dalam separuh akhir Piala FA dan Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara – dan terpaksa berpuas hati dengan ‘hanya’ dua trofi pada akhirnya.
Jadi atas dasar itu sahaja, peluang Arsenal menjadi juara EPL dan menandingi pasukan pimpinan Patrick Viera, yang bergelar ‘The Invincibles’ selepas mengharungi keseluruhan kempen liga tanpa kalah pada 2003-04.
Tetapi itu adalah satu-satunya trofi yang mereka perolehi musim itu dan harapan ‘quadruple’ mereka berakhir pada 3 Februari 2004, di tangan Middlesbrough, yang menewaskan mereka 3-1 secara agregat dalam separuh akhir Piala Liga.
Pastinya, Arteta tidak akan melayan soalan wartawan mengenai empat trofi yang boleh dimenanginya, tetapi, peminat boleh terus bermimpi. – Agensi berita.

