Topik diikuti
Pergi ke BHkuBrazil tidak ambil ringan aksi persahabatan lawan Jepun, S’pura
Skuad kendalian Carlo Ancelotti sedang lalui fasa pembinaan semula, beri peluang kepada pemain muda
Brazil tidak ambil ringan aksi persahabatan lawan Jepun, S’pura
Walaupun perlawanan akan datang sekadar aksi persahabatan, Brazil tidak akan memandang ringan cabaran menentang Jepun dan Singapura, dengan dua pemain muda mereka, Andrey Santos dan Marlon Gomes, menegaskan kemenangan tetap menjadi keutamaan setiap kali pasukan mereka turun padang.
Bagi gergasi bola sepak dunia itu, status perlawanan persahabatan di bawah Cabaran Mizuho Blue – Siri Bola Sepak Kallang Singapura bukanlah alasan untuk turunkan tahap mereka.
Perkara itu menjadi lebih penting kerana skuad kendalian Carlo Ancelotti kini sedang melalui fasa pembinaan semula yang memberi peluang kepada beberapa pemain muda.
Andrey, pemain tengah Manchester United berusia 22 tahun, berkata bahawa tuntutan untuk menang sentiasa menjadi sebahagian daripada identiti Brazil, tanpa mengira sama ada mereka beraksi dalam kejohanan utama mahupun perlawanan persahabatan.
“Apabila kita bercakap tentang Brazil, kita sentiasa bercakap tentang memenangi perlawanan dan memenangi trofi.
Tidak kira sama ada kita bermain dalam perlawanan persahabatan atau kejohanan, kita perlu menjalankan tugas kita,” katanya semasa sesi media di Hotel W Sentosa Singapura pada 12 November.
Kenyataan itu mencerminkan pendekatan yang mahu dibawa Brazil ketika berdepan Jepun dan Singapura dalam tempoh antarabangsa ini – menggunakan setiap perlawanan untuk membina momentum, sambil memastikan standard pasukan kekal tinggi.
Bagi pemain muda seperti Andrey, perlawanan itu juga peluang penting untuk membuktikan kemampuan dan mengukuhkan kedudukan dalam skuad yang sedang mengalami perubahan generasi.
Namun, Brazil bukan sahaja mahu memberi peluang kepada pemain muda untuk mendapatkan pengalaman.
Bagi Marlon, yang menerima panggilan sulung ke skuad senior, perlawanan persahabatan ini juga ruang untuk memperkenalkan nama baharu kepada penyokong negara itu.
Pemain tengah Shakhtar Donetsk itu berkata beliau sedar masih ramai peminat Brazil yang belum mengenali pemain muda yang kini diberi peluang dalam skuad kebangsaan.
Justeru, beliau dan rakan-rakan sepasukan mahu menggunakan peluang tersebut untuk menunjukkan kemampuan masing-masing, sekali gus meyakinkan penyokong bahawa generasi baharu Brazil mempunyai potensi untuk meneruskan tradisi pasukan itu.
“Saya rasa ramai peminat Brazil masih belum mengenali kami kerana kami pemain-pemain muda yang sedang muncul sekarang.
“Jadi, walaupun ini hanya perlawanan persahabatan, kami mahu bermain dengan baik dan menunjukkan bola sepak yang bagus supaya peminat Brazil lebih yakin dengan nama-nama yang sedang muncul ini.
“Kami mahu turun ke padang, bermain dengan baik dan sudah tentu menang juga, supaya dapat memberikan lebih keyakinan kepada diri kami,” kata Marlon yang juga berusia 22 tahun.
Buat Marlon, yang sebelum ini mewakili Brazil di peringkat remaja, peluang menyertai skuad senior merupakan impian yang akhirnya menjadi kenyataan.
Beliau berkata pengalaman bersama pasukan remaja sejak berusia 15 tahun membantunya menyesuaikan diri dengan persekitaran skuad senior, namun tetap menyedari bahawa mewakili pasukan utama membawa tanggungjawab yang lebih besar.
“Saya sangat gembira dengan projek baharu pasukan kebangsaan Brazil untuk memperbaharui skuad. Jangkaan saya adalah yang terbaik.
“Saya berharap dapat berlatih dengan baik, belajar sebanyak mungkin daripada pemain-pemain hebat di sini dan mendapat peluang untuk kembali lagi,” katanya.
Justeru, jelas bahawa bagi kedua-dua pemain muda ini, aksi menentang Jepun dan Singapura bukan sekadar perlawanan persahabatan, malah ia menjadi pentas untuk mereka membuktikan standard dan tuntutan kemenangan pasukan itu tidak berubah dan hanya akan meningkat bersama mereka.
Brazil bakal menentang Jepun pada 14 November, sebelum bertemu Singapura pada 17 November.