LONDON: Dua kelab yang bersaing untuk layak ke liga bola sepak utama England merayu pihak berkuasa membenarkan lebih ramai penyokong bagi perlawanan play-off Liga Kejuaraan di Stadium Wembley, London Sabtu ini.
Brentford dan Swansea akan bertemu bagi menentukan kelab mana bakal merebut satu tempat ke Liga Perdana dengan pertembungan berkenaan bernilai kira-kira £180 juta ($338 juta) buat pemenangnya.
Namun ketika ini, perlawanan itu akan berlangsung di depan maksimum 10,000 penonton kerana peraturan membabitkan Covid-19 berbanding 21,000 dibenarkan ketika final Piala FA antara Leicester dan Chelsea awal bulan ini.
Jon Varney, ketua eksekutif kelab barat London, Brentford mengkritik keputusan itu sebagai "tidak adil", dengan berkata menerusi kenyataan bersama: "Kami merasakan ia tidak adil hanya beberapa hari lalu, lebih 20,000 penyokong dibenarkan ke final Piala FA dan perbincangan lanjut sedang diadakan buat Wembley menganjurkan final Liga-Juara dengan jumlah penonton yang sama.
"Kami mendapati ia tidak adil apabila play-off Kejuaraan dihadkan kepada separuh jumlah berkenaan."
Kedua-dua pasukan dihadkan kepada hanya 4,000 penyokong ketika pasukan mereka mahu melengkapkan tempat ke liga utama bola sepak England itu.
Julian Winter, ketua eksekutif kelab Wales, Swansea yang lama bermain dalam liga bola sepak profesional England berkata: "Final Piala FA baru-baru ini dihadiri 20,000 penonton yang menjana suasana menakjubkan buat kedua-dua pasukan - sesuatu yang jelas dirindui sejak 14 bulan lalu. - AFP.