LONDON: Pemain pertahanan Brighton, Joel Veltman merasakan kekalahan di tangan Crystal Palace sebagai satu "rompakan" yang semakin menolak mereka menghampiri arah "zon bahaya" selepas tumpas 2-1 dalam aksi Liga Perdana England (EPL) awal pagi semalam.
Pemain antarabangsa Belanda itu menjaringkan gol penyamaan buat pasukan Seagulls selepas Jean-Philippe Mateta terlebih dahulu meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada separuh masa pertama.
Skuad kendalian Graham Potter kelihatan menguasai perlawanan dan melakar 25 peluang gol berbanding hanya tiga peluang oleh Palace.
Malangnya Brighton gagal memanfaatkan peluang yang tersedia dan terpaksa menggigit jari setelah jaringan hebat penyerang Palace, Christian Benteke di minit terakhir perlawanan menentukan keputusan dan menyebabkan Brighton pulang dengan tangan kosong.
Hantaran lintang Andros Townsend yang jauh melintasi gawang kelihatan tidak menimbulkan bahaya sehingga Benteke merembat bola dengan kencang masuk ke sudut jauh gawang.
Keputusan tersebut menyaksikan Palace naik ke tempat ke-13, sementara Brighton di tangga ke-16, hanya empat mata di atas Fulham yang menduduki tangga ke-18.
"Ia sukar dipercayai. Ia rasa seperti kami dirampas dari mengumpul mata.
"Kami mempunyai peluang yang gagal disempurnakan dan mereka hanya mempunyai separuh peluang dan Benteke menjaringkan gol.
"Kami perlu menjaringkan lebih banyak gol.
"Disebabkan keputusan ini kami kini hampir dengan zon bahaya. Kami harus bangkit dan perlawanan menentang West Bromwich sangat penting," kata Veltman.
Sementara itu, pengurus Palace, Roy Hodgson mempertahankan gaya permainan pasukannya.
"Mereka (Brighton) menguasai dengan lebih baik, sudah pasti, mereka lebih sering memiliki bola di dalam kotak kami, mereka lebih berkualiti, tetapi saya tidak akan meminta maaf kerana pulang dengan satu kemenangan yang sangat baik."
Skuad Eagles hanya dua kali berada dalam kotak penalti Brighton namun berjaya menjaringkan dua gol kemenangan.
"Kami terlalu bergantung kepada statistik hari ini. Perlawanan ditentukan oleh gol. Gol ditentukan bagaimana anda mengambil peluang dan mempertahankannya," kata Hodgson.
"Sebelum itu, kami diberi peluang menerusi sepakan sudut dan sentuhan dalam kotak penalti, adalah penting untuk kita ingat bahawa keputusan ditentukan oleh gol yang anda jaringkan dan bukannya gol yang gagal dijaringkan.
"Saya memang tidak puas jika kami tewas dan kami memiliki lebih banyak sepakan sudut atau sentuhan dalam kotak penalti," tambah Hodgson.
Pengurus Crystal Palace itu sebelum ini pernah ditukil sebagai berkata bahawa usaha kekal di Liga Perdana adalah sukar dan kelabnya memerlukan pelaburan besar untuk mencapai kedudukan di tangga teratas.
Namun beliau menambah:
"Ini bukan pencapaian buruk bagi pasukan yang sebenarnya tidak banyak belanja dan telah berusaha dalam anggaran yang munasabah untuk berada di liga setiap tahun."
Palace beraksi tanpa pemain tunggak, Wilfried Zaha kerana kecederaan tetapi Jean-Philippe Mateta memberikan impak dalam penampilan keduanya sejak dipinjamkan dari Mainz.
Palace dijadualkan bertemu Fulham di padang sendiri hujung minggu ini. - Agensi berita