LONDON: Kelab Liga Perdana England Brighton berkata ia harap dapat mengekalkan pemain pemenang Piala Dunia Alexis Mac Allister di kelab itu hingga kontraknya berakhir dalam dua tahun, bersandar prestasi cemerlangnya di Qatar 2022.
Mac Allister, 23 tahun, antara pemain cemerlang dan tunggak pasukan Argentina yang memenangi Piala Dunia.
"Saya harap kami tidak akan mengalami masalah mengikatnya hingga kontrak luput," kata ketua eksekutif Paul Barber.
Kontrak Mac Allister dengan Brighton berakhir pada Jun 2025, dengan kelab itu ada pilihan melanjutkannya setahun.
"Tentunya, beliau akan diburu kelab lain... kami sedar akan perkara itu tetapi kami berharap dapat mengekalkannya di sini seberapa lama yang mampu," ujar Barber lagi.
Brighton, yang beraksi di luar jangkaan musim ini, membiarkan beberapa pemain meningalkan kelab itu sejak musim panas lalu. Pemain pertahanan Marc Cucurella dijual pada harga £60 juta ($98 juta), diikuti pemain seperti Yves Bissouma (£25 juta), Neal Maupay (£15 juta), Ben White (£50 juta) dan Dan Burn (£13m).
Bercakap kepada BBC, Barber berkata perhatian yang diberikan pada Mac Allister adalah satu "masalah menarik".
"Tentunya apabila kakitangan dan pemain menunjukkan keupayaan mereka... mereka akan menarik perhatian daripada kelab lain yang lebih besar.
"Kelab-kelab sedemikian lebih kaya dan berkeupayaan menawarkan kepada pemain peluang beraksi pada peringkat lebih tinggi... kami faham dan akur.
"Tapi kami juga perlu mempertahankan kepentingan kelab ini dan kami berharap kontrak yang kami ada dengan pemain ini akan dihormati.
"Sebaliknya, pada masa sama, kami juga tahu beliau adalah pemain penuh potensi dan di final Piala Dunia memain peranan mencipta gol dianggap antara paling hebat dalam sejarah Piala Dunia," ujar Barber.
Mac Allister tampil enam kali bagi Argentina di Qatar dan menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan 2-0 ke atas Poland pada peringkat kumpulan.
Pada final, beliau membuat umpanan cantik kepada Angel di Maria yang menjaringkan gol kedua Argentina. Mac Allister dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan final oleh BBC berdasarkan undian peminat.
Pencapaian Mac Allister setakat ini menakjubkan, terutama memandangkan beliau baru berusia 23 tahun, kata Barber.
"Beliau beraksi begitu baik pada peringkat tertinggi bola sepak dan itu adalah saat paling indah bagi beliau, keluarganya dan kelab.
"Saya tidak bercakap bersamanya selepas perlawanan itu, tetapi saya mengirim mesej tahniah kepadanya, tanpa menjangka sebarang kiriman balas serta-merta," kata Barber.
"Tapi sebagaimana kami mengenalinya, Alexis membalas kiriman itu pada malam yang sama dan mengucapkan terima kasih kepada semua orang di kelab atas sokongan yang diberikan.
"Itulah Alexis yang kami kenal... beliau layak bergelar juara dunia kerana beliau seorang pemain rendah hati."
Mac Allister menyertai Brighton pada bayaran £7 juta pada 2019 daripada Argentinos Juniors, sebelum beliau serta-merta dipinjaman kembali kepada kelab itu.
Beliau juga pernah dipinjamkan kepada Boca Juniors selepas mewakili Argentina buat kli pertama pada September 2019.
Mac Allister bermain bagi Brighton buat kali pertama pada Mac 2020 menentang Wolves. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg