Hingga ke hari ini, ramai yang masih mengaitkan nama, Tajeli Salamat, dengan julukan ‘budak nakal’ atau ‘bad boy’.

Beliau percaya tanggapan itu mungkin timbul kerana rekod disiplin bermasalah serta semangat di padang yang disalah erti sebagai tingkah laku terlalu agresif.

Peminat bola sepak tempatan pasti masih ingat kejadian beliau didenda bersama lapan pemain lain kerana melanggar had waktu bersama skuad negara bawah usia 23 tahun pada Sukan SEA 2019.

Satu lagi kejadian serupa berlaku pada 2022 bersama rakan sepasukannya ketika menyarung jersi Lion City Sailors (LCS), yang menyebabkan mereka berdua dihantar pulang ke Singapura pada hari berikutnya.

Beliau mengakui masih dihantui detik itu, dan benar-benar menyesali kejadian itu sehingga ke hari ini.

Tajeli berasa deretan kejadian berkenaan bukan sahaja menyekat kerjayanya di LCS, malah membendung peluangnya untuk terus menyarung jersi skuad kebangsaan.

Kini, berusia 32 tahun, Tajeli kembali ke kelab zaman remajanya, Balestier Khalsa, seiring azam untuk menebus kekecewaan lalu demi mengukir bab penutup kerjaya yang gemilang.

Bagi kunjungan kali keempatnya di situ, Tajeli telah diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai kapten.

Dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH) di Stadium Serangoon pada 14 Ogos, pemain pertahanan itu menceritakan betapa bermaknanya diberikan peluang memimpin pasukan, The Tigers.

Keputusan itu mulanya tercetus secara seloroh oleh ketua jurulatih, Marko Kraljevic.

Lama-kelamaan, Tajeli menjadi lebih terbuka kepada peluang itu, terutama sekali memandangkan beliau satu-satunya pemain senior – berusia 30 tahun – di kelab tersebut.

“Tanggungjawab ini memang berat dipikul, namun saya sedia menyahut cabaran ini.

“Dengan sejarah saya dan label ‘budak nakal’, saya rasa peranan kapten ini satu peluang baik untuk saya berubah, lebih bertenang dan menjaga tingkah laku.

“Saya juga memang gemar menguji diri saya untuk menjadi insan dan pemain yang lebih baik. Mungkin pemain muda juga boleh melihat perkembangan saya.”

“Alhamdulillah, kelab telah memberi saya peluang ini dan saya akan memberi usaha sepenuhnya...

“Saya harap rakan sepasukan dapat menyokong saya juga,” kongsi Tajeli yang sudah beraksi secara profesional sejak 2012.

Beliau menerima hakikat bukan mudah untuk mengubah tanggapan orang ramai terhadap dirinya, khususnya menyusuli beberapa kejadian melibatkan disiplin.

Namun, itu bukanlah keutamaan beliau.

Sebaliknya, beliau ingin membanggakan keluarganya, terutama sekali anak lelaki dan perempuannya yang masing-masing berusia lima dan tiga tahun.

“Sekarang saya sudah berkeluarga, saya mahu mereka (anak-anak) melihat saya sebagai seorang wira, bukan watak jahat,” katanya.

Beliau juga tidak mengendahkan gelaran ‘budak nakal’ kerana akur ada sebahagian peminat yang salah faham kesungguhannya.

Menurutnya, daya saing dan ketahanan mental itu telah dibentuk sejak beliau muda.

“Dulu, bukan mudah untuk menyertai skuad utama dan mendapatkan kontrak profesional.

“Kami perlu berjuang dan berusaha di semua peringkat, serta lakukan segalanya dengan bersungguh-sungguh.

“Sewaktu mula menyertai skuad senior, sayalah pemain paling muda. Jadi, setiap kali turun ke padang, saya tunjukkan sifat agresif dan keberanian saya, tak sesekali pun tunjuk rasa takut,” kongsi Tajeli.

Hingga hari ini, beliau masih membawa perwatakan itu, dan mungkin semangat itu bercampur aduk dengan sejarahnya untuk menimbulkan persepsi ‘budak nakal’, tambahnya.

Tajeli Salamat (kiri) semasa sesi latihan di Stadium Serangoon pada 14 Ogos.
Tajeli Salamat (kiri) semasa sesi latihan di Stadium Serangoon pada 14 Ogos. - Foto BH oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL
Tajeli Salamat semasa sesi latihan di Stadium Serangoon pada 14 Ogos.
Tajeli Salamat semasa sesi latihan di Stadium Serangoon pada 14 Ogos. - Foto BH oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL

Dengan pengalaman lebih sedekad di liga bola sepak tempatan, Tajeli sudah memperoleh beberapa pengiktirafan.

Antara pencapaiannya termasuk memenangi trofi SPL bersama LCS pada 2021, membuat penampilan sulungnya untuk skuad negara pada tahun yang sama dan diiktiraf dalam pasukan terbaik musim SPL 2020.

Walaupun Tajeli akur berada dalam peringkat lewat dalam kerjayanya, beliau masih mengidamkan peluang bermain di liga antarabangsa jika diberikan peluang.

Maka itu, beliau juga sudah terbiasa berdepan dugaan dan bangkit semula apabila hilang seri.

Cabaran yang baru diharungi timbul apabila beliau menamatkan kontraknya bersama Geylang International atas persetujuan bersama pada November 2025, setelah menyertai kelab itu pada Julai 2025.

“Saya betul-betul ingat kerjaya saya sudah habis, saya tak pasti sama ada akan main bola lagi.

Ketidaktentuan semasa tempoh itu di samping kelemahan disiplinnya yang sering diungkit menyebabkan beliau patah semangat.

Namun, nasibnya berubah apabila menerima panggilan daripada Kraljevic untuk kembali menyarung jersi Balestier.

Tajeli dan Kraljevic mempunyai ikatan kuat, kerana jurulatih itulah yang membawa Tajeli masuk ke dunia profesional menerusi Balestier pada 2014.

“Saya rasa kami mempunyai hubungan yang lebih akrab berbanding jurulatih yang lain. Oleh kerana bimbingan dan kepercayaan berterusan beliau, saya berada di sini hari ini,” katanya.

Di sesi pertemuan itu, Kraljevic turut berseloroh bahawa Tajeli menjadi lebih disiplin sejak diberikan tugas sebagai kapten.

Tajeli (kiri) menganggap Kraljevic (kanan) sebagai figura penting dalam pembangunannya sebagai pemain bola sepak profesional.
Tajeli (kiri) menganggap Kraljevic (kanan) sebagai figura penting dalam pembangunannya sebagai pemain bola sepak profesional. - Foto BH oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL
Tajeli (kiri) menganggap Kraljevic (kanan) sebagai figura penting dalam pembangunannya sebagai pemain bola sepak profesional.
Tajeli (kiri) menganggap Kraljevic (kanan) sebagai figura penting dalam pembangunannya sebagai pemain bola sepak profesional. - Foto BH oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL

Kepercayaan itu membakar semangat beliau untuk beraksi habis-habisan untuk baki musim 2025/26.

Walaupun menyertai skuad itu dalam pertengahan musim, Tajeli telah membuktikan kepentingannya di jentera pertahanan.

Beliau beraksi dalam 21 perlawanan SPL dan Piala Singapura, dan disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam kebanyakan perlawanan itu.

Antara detik manisnya sepanjang kempen itu ialah rembatan hebat dari jarak jauh yang membantu skuadnya menewaskan Geylang International FC 4-3 pada 15 Mei, setelah skuad itu kembali daripada ketinggalan 1-2.

Berbekal prestasi musim lalu dan tanggungjawab baharu, Tajeli sedia menghadapi persaingan lebih sengit bagi musim 2026/27.

Tajeli Salamat (kiri) semasa sesi latihan di Stadium Serangoon pada 14 Ogos.
Tajeli Salamat (kiri) semasa sesi latihan di Stadium Serangoon pada 14 Ogos. - Foto BH oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL

“Dengan sejarah saya dan label ‘budak nakal’, saya rasa peranan kapten ini satu peluang baik untuk saya berubah, lebih bertenang dan menjaga tingkah laku.”
Kapten Balestier Khalsa, Tajeli Salamat