USIA mereka masih muda lagi, tetapi trio belia ini sudah berjaya "menggegarkan" dunia silat.

Dhani Andika Razali, Nurshahfareeq Shahrudin, 18 tahun dan Shaiman Johanis, 19 tahun masing-masing telah memenangi pingat di peringkat antarabangsa.

Di Kejohanan Pencak Silat Dunia 2022 di Melaka, Dhani Andika dan Nurshahfareeq Shahrudin, berjaya mara ke pusingan akhir dan menggondol pingat perak pada percubaan pertama.

Tiga bulan menyusuli itu, kedua-duanya merangkul emas dalam Kejohanan Pencak Silat Asia 2022 di Kashmir, India.

Shaiman Johanis pulang dengan pingat perak dari pertandingan itu.

Ketiga-tiga satria negara ini, yang membentuk generasi seterusnya pesilat tanding putera Singapura, dijangka "membuat kacau" apabila mereka memasuki gelanggang silat Sukan SEA 2023, yang berlangsung 5-17 Mei.

Mereka akan tampil buat julung-julung kali di temasya sukan dwitahunan itu.

Ditanya Berita Harian (BH) apakah sasaran mereka di Sukan SEA, trio itu tidak berfikir panjang malah sebulat suara memberi jawapan - pingat emas menjadi idaman.

Untuk Dhani, yang akan menyertai acara tanding putera atau perseorangan lelaki (bawah 45 kg), persediaannya ke Sukan SEA sudah bermula sejak Julai 2022.

Bermula dari kategori bawah 45 kg, acara silat tanding putera di Sukan SEA Kemboja ini dibahagikan mengikut berat badan dari Kelas A- Kelas J, dengan Kelas A melibatkan atlet berat badan tertinggi.

"Persiapan saya tidak bermula dua bulan lalu, tetapi sejak tahun lalu apabila saya tewas dalam pusingan akhir di Kejohanan Pencak Silat Dunia. Pemikiran saya sejak itu adalah untuk ke Sukan SEA dan tebus kekalahan," kata pelajar jurusan operasi hospitaliti di ITE Kolej Barat itu.

Dhani tumpas di tangan pesilat Indonesia Bayu Lesmana di Melaka.

"Sasaran saya adalah untuk merampas emas daripadanya," tambah beliau, yang mengidolakan bekas pesilat negara dan pemenang pingat gangsa Sukan SEA, Ridhwan Selamat.

Nurshahfareeq, yang menyertai acara tanding putera kelas H (bawah 80kg) pula ingin mengikuti jejak langkah anggota keluarganya.

Beliau merupakan adik kepada bekas pesilat ganda seni wanita nasional, Nurhanishah Shahrudin, yang juga juara dunia dan pemenang pingat perak Sukan SEA.

Beliau juga sepupu kepada bekas pesilat mapan negara Shakir Juanda - dua kali juara dunia dan pemenang lima pingat Sukan SEA.

Nurshahfareeq, yang mula menceburi sukan itu seawal usia lima tahun, berkata:

"Setiap kali saya melihat kakak saya naik ke podium, menangis sambil mendengar Lagu Kebangsaan dimainkan, saya terdorong untuk menjadi sepertinya atau lebih baik daripadanya suatu hari nanti."

Sebagai pesilat muda, Nurshahfareeq bertuah didampingi tokoh hebat sukan itu seperti Shakir dan juara dunia empat kali, Sheik Farhan Sheik Alau'ddin selaku rakan latihannya.

"Shakir akan selalu menghubungi saya selepas perlawanan dan memberi saya tip untuk perbaiki persembahan...Semasa latihan pula, Farhan banyak membantu saya dalam menasihati teknik dan gaya lawan yang sesuai," kata pelajar ITE Kolej Timur dalam jurusan pengurusan sukan itu.

"Apa yang saya perlukan adalah untuk bersikap terbuka dan menerima setiap kritikan sebagai motivasi untuk menjadi lebih baik."

Kedua-dua Dhani dan Nurshahfareeq juga baru-baru ini menerima biasiswa Kecemerlangan Sukan (spexScholarship). Biasiswa itu menyediakan sokongan kewangan dan program latihan untuk membantu atlet berjaya dalam kejohanan utama.

Bagi Shaiman, penyertaan di Sukan SEA melambangkan pengorbanannya demi mencapai kejayaan dalam sukan silat.

Pelajar ITE jurusan teknologi mekanikal itu kini menjalani latihan sambil belajar selama empat bulan.

Jadual latihan yang padat - beliau berlatih setiap hari dari Isnin hingga Jumaat - dan tuntutan kerja bermakna beliau tahu gred akademik boleh terjejas.

Namun beliau rela berkorban kerana sedar peluang keemasan untuk mewakili negara di Sukan SEA jarang datang berkali-kali.

"Saya tidak mahu melepaskan peluang ke Sukan SEA. Rugilah kalau saya tidak merebut peluang yang diberikan," tambah beliau. Shaiman akan bertanding dalam kelas A (45-50kg) dalam acara tanding putera di Sukan SEA nanti.

CABARAN DAN SASARAN PESILAT

"Setiap kali saya melihat kakak saya (Nurhanishah Shahrudin, juara dunia dan pemenang pingat perak Sukan SEA) naik ke podium, menangis sambil mendengar Lagu Kebangsaan dimainkan, saya terdorong untuk menjadi sepertinya atau lebih baik daripadanya suatu hari nanti."

- Nurshahfareeq Shahrudin

"Persiapan saya tidak bermula dua bulan lalu, tetapi sejak tahun lalu apabila saya tewas dalam pusingan akhir di Kejohanan Pencak Silat Dunia.

Pemikiran saya sejak itu adalah untuk ke Sukan SEA dan tebus kekalahan.

Sasaran saya adalah untuk merampas emas daripadanya."

- Dhani Andika Razali.

" Yang pasti ada tekanan yang diletakkan untuk saya berjaya...Tetapi, saya kerap mengingatkan diri saya agar jangan biarkan ia menjejas tumpuan saya."

- Nadhrah Sahrin.

"Saya ikhlas menerima kekalahan tersebut (di Hanoi). Tetapi, saya membawa pulang banyak pengajaran dan menjadi seorang pesilat yang lebih kuat."

- Khadijah Shahrem.