Topic followed successfully
Go to BHkuCanada layak ke Piala Dunia Qatar selepas penantian 36 tahun
Canada layak ke Piala Dunia Qatar selepas penantian 36 tahun
Canada layak ke Piala Dunia Qatar selepas penantian 36 tahun

TORONTO: Canada melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama dalam 36 tahun selepas menewaskan Jamaica 4-0 dalam perlawanan kelayakan di Toronto kelmarin.
Gol-gol yang dijaringkan Cyle Larin, Tajon Buchanan dan Junior Hoilett, serta gol sendiri Adrian Mariappa memberikan Canada tiga mata maksimum dalam kumpulan kelayakan Concacaf.
Jamaica, yang telah pun tersingkir dari Piala Dunia di Qatar pada hujung tahun ini, tidak bermaya untuk menyaingi lawan mereka yang lebih bersemangat itu.
Kemenangan itu mencetus perayaan besar-besaran di stadium BMO Field yang padat dengan 30,000 penonton.
Mereka memenuhi stadium kerana menjangka Canada akan melayakkan diri ke Piala Dunia selepas perlawanan itu - kali pertama mereka melayakkan diri ke pusingan akhir sejak Piala Dunia 1986 di Mexico.
Sementara itu, di Orlando pula, Christian Pulisic, yang turut menyarung jersi Chelsea dalam Liga Perdana England (EPL), menjaringkan hatrik untuk membantu Amerika Syarikat menang besar 5-1 ke atas Panama.
Kemenangan itu dijangka menjamin kelayakan Amerika ke Piala Dunia 2022.
Pulisic menjaringkan dua gol pertama melalui tendangan penalti, sebelum melengkapkan hatrik dengan percubaan solo dalam separuh masa kedua.
Gol-gol lain bagi Amerika di Stadium Exploria di Orlando itu dijaringkan oleh Jesus Ferreira dan Paul Arriola, menjamin kemenangan dan sekali gus mengakhiri peluang Panama untuk melayakkan diri ke Piala Dunia.
Kemenangan itu bermakna Amerika Syarikat masih boleh tewas - asalkan bukan dengan jaringan besar - kepada Costa Rica dalam perlawanan kelayakan terakhir dan tetap melayakkan diri ke Piala Dunia.
Kedudukan baik bagi Amerika itu sedikit sebanyak mengubat kepahitan terlepas beraksi di Piala Dunia 2018 di Russia.
Dalam pada itu, jurulatih Canada yang berasal dari England, John Herdman, berkata pencapaian negara itu melayakkan diri ke Piala Dunia adalah bukti ia sebuah negara bola sepak.
"Anda tentunya tahu... pemain Canada pernah beraksi dalam final Liga Juara-Juara Eropah, menyarung jersi Bayern Munich dan kini pergi ke Piala Dunia," kata Herdman, merujuk kepada pemain Canada dan bintang Bayern, Alphonso Davies.
"Canada ialah negara yang handal dalam bola sepak dan kita tidak harus menyangkal hakikat ini. Inilah langkah permulaan bagi Canada," tambahnya. - Agensi berita.

