MANCHESTER: Kerjaya lebih 15 tahun sebagai pemain, jurulatih dan pengurus sementara berakhir sudah.
Legenda Manchester United, Michael Carrick, mengesahkan beliau akan meninggalkan kelab tersebut selepas melihat anak didiknya bagi tiga perlawanan lalu menewaskan Arsenal 3-2 awal pagi semalam (waktu Singapura) di Old Trafford.
"Saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri setelah berfikir panjang, ia bukanlah satu keputusan yang mudah," ujar Carrick.
Ralf Rangnick telah dilantik pengurus sementara sehingga akhir musim ini.
Carrick, yang memenangi lima kejuaraan liga sepanjang kerjaya 12 tahun sebagai pemain bersama United, mengambil alih sebagai pengurus sementara selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat pada 21 November lalu.
Beliau memimpin United semasa pasukan Red Devils itu menewaskan Villareal dalam Liga Juara-Juara pada 23 November lalu, sebelum seri 1-1 dengan Chelsea, di mana beliau menggugurkan pemain bintang, Christiano Ronaldo, dari kesebelasan utama.
Carrick mengumumkan keputusannya itu beberapa minit setelah kejayaan ke atas Arsenal, yang melihat United mendaki tangga liga ke tempat ketujuh.
"Ia adalah sesuatu yang sukar untuk memberitahu para pemain," kata beliau.
"Ada sebahagian diri saya merasakan saya meninggalkan pasukan ini pada masa mereka benar-benar memerlukan sokongan setiap orang, tapi ada kalanya kita harus melakukan sesuatu apabila tiba masanya.
"Saya telah menikmati setiap detik bekerjasama dengan para pemain ini... mereka adalah sekumpulan pemain yang menakjubkan," tambah beliau.
Carrick, 40 tahun, merupakan penolong pengurus dan jurulatih pasukan utama di bawah kepimpinan Solsjkaer, dan beliau akur kesetiaannya kepada bekas rakan sepasukannya itu merupakan antara "faktor kecil" keputusannya itu. - Agensi berita.