LONDON: Liverpool telah mendapatkan tandatangan Fabio Carvalho dari Fulham, yang akan menyertai kelab di Anfield itu secara rasmi pada 1 Julai.
Carvalho, 19 tahun, memainkan peranan utama dalam membantu Fulham meloncat ke Liga Perdana England (EPL) bagi musim akan datang, dengan 10 gol dan merintis lapan percubaan gol.
Kededua Liverpool dan Fulham telah mencapai persetujuan berhubung pindahan pemain itu pada Januari lalu, tetapi ia gagal diputuskan sebelum tarikh luput jendela perpindahan pemain.
Carvalho menandatangani perjanjian lima tahun bernilai £5 juta ($8.6 juta), yang belum termasuk £2.7 juta merangkumi beberapa tambahan kontrak lain.
Fulham juga boleh mendapat 20 peratus bayaran yang diterima Liverpool jika ia menjual Carvalho.
Pemain yang berasal dari Portugis itu menyarung jersi England di peringkat belia, tetapi telah mewakili negara asalnya di peringkat Bawah-21 tahun.
Beliau ialah anggota akademi Fulham dan dinamakan sebagai calon bagi anugerah Pemain Muda Terbaik EFL, yang dimenangi oleh pemain Nottingham Forest, Brennan Johnson.
"Fabio ialah bakat yang hebat dan kami telah melakukan apa yang termampu untuk menyimpannya di kelab itu," kata pemilik kelab Tony Khan.
"Namun perkara itu tidak mampu kami lakukan dan kami hanya berjaya mengekalkan khidmatnya sehingga akhir musim lalu, di mana beliau telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai," kata beliau.
"Justeru, beliau beliau meninggalkan kelab ini dengan kenangan manis dan akan sentiasa disanjung peminat di sini." - Agensi berita.