
SEBUAH inisiatif baru untuk menggalak lebih ramai individu kurang upaya mengamalkan gaya hidup aktif serta sihat, dan membantu golongan ini merealisasikan cita-cita sukan mereka telah dilancarkan semalam.
Dinamakan Dare to Dream, inisiatif itu adalah kerjasama antara Certis dengan Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC).
Certis mendermakan $30,000 kepada program itu. Sumbangan itu akan dipadankan dolar untuk dolar di bawah Program Pengumpulan Dana Dipertingkat Tote Board, kata Certis dan SDSC dalam satu kenyataan bersama semalam.
Di bawah inisiatif Dare to Dream itu, satu program utama yang dipanggil Cabaran Wira Certis atau Certis Superheroes Challenge, akan dijalankan bagi Certis dan SDSC mencungkil serta mengenal pasti bakat baru dan mengasah generasi seterusnya atlet para.
Kakitangan Certis juga akan secara aktif terlibat dalam proses pencarian bakat itu dan dilatih sebagai penyelaras sukan para.
Menerusi cabaran itu, SDSC akan membangunkan data mengenai profil individu kurang upaya - yang termasuk tahap kecergasan dan minat mereka - supaya dapat memadankan mereka pada sukan yang sesuai.
Presiden dan Kumpulan Ketua Pegawai Eksekutif Certis, Encik Paul Chong, berkata: "Kami gembira dapat bekerjasama dengan Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura dan bersama menulis lembaran seterusnya kisah sukan kurang upaya Singapura. Melalui Dare to Dream, kami membantu membangkitkan semangat dan memperkasakan individu kurang upaya untuk memanfaatkan potensi penuh mereka."
Program itu juga akan membantu pasukan wanita goalball nasional Singapura mencapai aspirasi mereka.
Goalball ialah sukan berpasukan yang direka bagi atlet dengan masalah penglihatan dan merupakan salah satu daripada dua sukan para yang tidak mempunyai acara sukan seumpamanya di Paralimpik.
Sumbangan Certis akan membolehkan pasukan Singapura bertanding di luar negara sebagai persiapan bagi Sukan Para Asean, yang dijadual Julai ini di Surakarta, Indonesia.
Pasukan wanita goalball Singapura buat masa ini menduduki tangga ke-44 dunia dan nombor sembilan di Asia.
Turut hadir di majlis pelancaran yang diadakan di Auditorium Sport Singapore di Hab Sukan Singapura pagi semalam ialah Menteri Negara (Budaya, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, dan Presiden SDSC, Dr Teo-Koh Sock Miang. - ZULAIQAH ABDUL RAHIM


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg