Buat kali kedua dalam seminggu, pemain boling negara Cherie Tan mendapati dirinya dalam keadaan yang pernah dirasai di Pusat Boling Smyrna di Tennessee, Amerika Syarikat.
Dalam kejohanan BowlTV Classic Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) pada 1 Jun, beliau sekali lagi menjadi pilihan utama yang menyertai peringkat akhir ‘stepladder’, hanya dua hari selepas beliau melalui pengalaman sama pada kejohanan Greater Nashville Classic.
Namun, walaupun beliau kalah kepada pemain boling Malaysia, Sin Li Jane, dalam kejohanan itu, beliau tidak membiarkan sejarah berulang dengan menjuarai BowlTV Classic dengan kemenangan 269-206 ke atas rakan senegara, New Hui Fen, pada perlawanan akhir, lapor The Straits Times (ST).
Tan, yang juga pernah memenangi pertandingan tersebut pada 2022, berkata: “Saya sangat gembira memenangi kejohanan ini, terutama selepas saya hampir memenangi (dalam satu lagi kejohanan) dua hari lalu.
“Saya telah bermain dengan amat baik dan membuat lontaran secara konsisten. Saya fikir ia membantu saya memenangi gelaran ini.”
Pemain berusia 36 tahun itu mengungguli sekumpulan 95 pemain, dengan menjatuhkan 2,746 pin dalam 12 perlawanan, sebelum memenangi pusingan ‘matchplay’ dengan rekod menang-kalah 8-4, dan kejatuhan sebanyak 5,674 pin.
New, yang hanya ketinggalan 207 pin di belakang dengan rekod ‘matchplay’ 7-5, memasuki peringkat akhir ‘stepladder’ yang mempunyai lima pemain. Beliau adalah pilihan kedua memenangi kejohanan itu.
New kemudian menewaskan Bryanna Cote dari Amerika 255-181 untuk menyertai pusingan akhir yang melibatkan pemain dari Singapura sahaja.
Dengan memberi tumpuan pada prestasi rakan sepasukannya, Tan menang dalam perlawanan itu dan berjaya membawa pulang hadiah utama AS$10,000 ($13,500).
“Kami telah bersaing sesama sendiri beberapa kali, tetapi saya tidak fikir lawan saya menjadi tumpuan utama.
“Kami hanya boleh mengawal lontaran bola, dan itulah pemikiran saya semasa perlawanan – fokus kepada membuat lontaran yang bagus,” ujar Tan.
Walaupun menduduki tempat kedua, New berasa beliau meraih sesuatu yang baik, iaitu membiasakan diri mengguna bola yang baru diperolehinya.
Pemain berusia 32 tahun itu berkata: “Saya rasa saya bermain dengan baik secara konsisten pada setiap blok.”
Kemenangan Tan di Tennessee adalah yang kelima baginya dalam Jelajah PWBA.
Menurutnya, kejohanan itu memberi persekitaran istimewa di mana pemain wanita terbaik bersaing antara satu sama lain setiap minggu di lorong berbeza dan dengan corak permainan berbeza.
“Lengkung pembelajaran yang lebih sukar ini membantu kami berkembang,” katanya.
Pengarah teknikal Persekutuan Boling Singapura (SBF), Jason Yeong-Nathan, berkata persembahan baik oleh Tan dan New di BowlTV Classic disebabkan usaha mereka yang tidak putus-putus untuk mencapai kecemerlangan.
Beliau turut gembira dengan prestasi pemain boling Singapura secara keseluruhan.
Pemain Shayna Ng mendapat tempat ke-16, manakala Daphne Tan meraih tempat ke-51.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg