Encik Christopher de Souza dan Encik Xie Yao Quan akan dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Parlimen bagi penggal baru oleh Timbalan Ketua Dewan, Encik Zaqy Mohamad.
Encik Zaqy akan mencalonkan kedua-dua Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) tersebut apabila Parlimen bersidang semula pada 22 September bagi membahaskan Ucapan Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Jika dipilih, ini merupakan penggal kedua bagi Encik de Souza, manakala Encik Xie dicalonkan buat kali pertama, lapor The Straits Times (ST).
Dalam satu hantaran Facebook pada 12 September, Encik Zaqy, yang merupakan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), berkata beliau yakin kedua-dua AP itu akan membawa rasa tanggungjawab yang tinggi, pertimbangan yang bijak, menghormati peraturan dan semangat demokrasi berparlimen dalam melaksanakan tugas tersebut.
“Kedua-duanya amat komited terhadap tadbir urus yang baik dan memperkukuh wacana bermakna yang mencerminkan aspirasi dan keprihatinan rakyat Singapura,” kata Encik Zaqy.
Jika dipilih, kedua-dua AP tersebut akan mengambil alih tanggungjawab Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, apabila beliau tidak dapat hadir ke Parlimen.
Sebagai Timbalan Speaker, tugas mereka termasuk mempengerusikan prosiding Parlimen dan mengurus masa yang diperuntukkan kepada AP semasa perbahasan.
Sesi pembukaan sidang Parlimen ke-15 pada 5 September menyaksikan Encik Seah dipilih semula sebagai Speaker Parlimen, dan seramai 99 AP – termasuk dua AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) – mengangkat sumpah.
Encik de Souza, yang merupakan AP bagi GRC Holland-Bukit Timah selama lima penggal, sudah biasa dengan peranan tersebut.
Beliau pernah menjadi Timbalan Speaker bersama Cik Jessica Tan sepanjang penggal ke-14 Parlimen – dari 31 Ogos 2020 hingga Parlimen dibubarkan pada April sebelum Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Encik Zaqy berkata Encik de Souza, seorang peguam, dihormati oleh seluruh Dewan kerana sikapnya yang tenang, kefahaman undang-undang yang jelas, serta sifat adil semasa mempengerusikan perbahasan.
Beliau turut menghargai peranan Encik de Souza sebagai Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang semasa penggal Parlimen sebelum ini.
“Beliau mengukuhkan perbincangan dasar mengenai keadilan dan kepercayaan awam, serta pernah membawa usul di Parlimen untuk mempertingkat usaha Singapura memerangi dadah,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg