Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

City cicir mata, Arsenal kukuh di puncak EPL

Jan 2, 2026 | 4:15 PM
Manchester City, seri dengan Sunderland, EPL
Walaupun Manchester City keciciran mata apabila seri dengan Sunderland 0-0 pada 1 Januari, peminat mereka berharap dengan kepulangan pemain tengah mereka, Rodri (kanan), bakal membantu mereka mengejar dan melepasi Arsenal. - Foto AFP

LONDON: Suasana tahun baru Liga Perdana England (EPL) pada 1 Januari terasa hambar apabila jadual perlawanan pertama tahun baru menyaksikan tiga keputusan seri tanpa jaringan.

Yang paling mencuri tumpuan ialah keputusan Manchester City terikat 0-0 dengan Sunderland, keputusan yang menyebabkan mereka kini ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.

City yang berada di tempat kedua sepatutnya dapat merapatkan jurang kepada dua mata, namun terpaksa berpuas hati dengan satu mata dan menyaksikan rentak kemenangan mereka dalam semua kejohanan berakhir selepas lapan perlawanan berturut-turut.

Liverpool pula gagal mempamerkan ketajaman di hadapan gol apabila seri 0-0 di Anfield menentang Leeds United.

Di Brentford, perlawanan menentang Tottenham Hotspur juga berakhir tanpa sebarang jaringan.

Satu-satunya perlawanan yang menyaksikan gol adalah di Selhurst Park, dengan Crystal Palace dan Fulham terikat 1-1.

Sunderland terus membuktikan mereka lawan yang sukar, sejak kembali ke EPL.

Mereka kini sudah mencatat keputusan seri menentang City, Arsenal dan pasukan di tempat ketiga, Aston Villa, di Stadium of Light.

Mereka juga menjadi pasukan kedua yang naik liga (EPL) dan kekal tanpa kalah dalam 10 perlawanan di stadium sendiri pertama mereka dalam satu musim EPL, selepas Ipswich Town pada musim 1992-93.

“Ia perlawanan yang baik menentang pasukan yang sangat kuat, antara yang terbaik di Eropah,” kata pengurus Sunderland, Regis Le Bris.

“Tahap yang kami tetapkan dalam pasukan ini tinggi. Pemain mahu terus meningkat. Jika kekal di tahap yang sama, liga ini bergerak terlalu pantas dan anda akan ketinggalan. Mereka masih ada cita-cita besar,” tambahnya.

Satu perkembangan positif buat City ialah kembalinya Rodri ke padang sebagai pemain gantian bagi Niko Gonzalez yang cedera.

Rodri sebelum ini mengalami kecederaan bahagian hamstring yang mengehadkan penampilannya kepada beberapa minit sahaja dalam tempoh tiga bulan.

Kemenangan besar Arsenal 4-1 ke atas Villa pada 30 Disember (31 Disember waktu Singapura) meletakkan mereka di puncak liga dengan 45 mata pada titik separuh musim, manakala City kendalian Pep Guardiola mengumpul 41 mata selepas hanya keputusan seri liga kedua mereka musim ini.

Arsenal seterusnya akan bertandang ke gelanggang Bournemouth yang sedang melalui masa mencabar pada 3 Januari , sementara City akan menerima kunjungan Chelsea sehari kemudian.

Chelsea baru sahaja berpisah dengan jurulatih mereka, Enzo Maresca, pada 1 Januari.

Liverpool kini berada di tempat keempat, 12 mata di belakang Arsenal, selepas mempamerkan persembahan yang kurang bertenaga sekali lagi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg