LONDON: Manchester City menambahkan tekanan ke atas Mikel Arteta apabila penyandang juara Piala Liga itu mara ke pusingan separuh akhir selepas menundukkan Arsenal 4-1 awal pagi semalam.
Ia adalah kekalahan keempat Arsenal dalam enam perlawanan terakhir mereka di dalam semua pertandingan.
Gabriel Jesus hanya memerlukan tiga minit untuk meletakkan City di depan dalam aksi suku akhir di Stadium Emirates itu.
Alexandre Lacazette menyamakan kedudukan, tetapi Arsenal gagal menghalang anak buah Pep Guardiola daripada terus membolosi gawang mereka.
Penjaga gol simpanan Arsenal Alexs Runarsson melakukan kesilapan dengan membiarkan sepakan percuma Riyad Mahrez melepasinya.
Phil Foden dan Aymeric Laporte turut menemui sasaran untuk terus menambah tekanan ke atas Arsenal.
"Ia sukar ditelan jika diambil kira perjalanan perlawanan ini. Lawan sebegini, jika anda memberikan mereka gol mudah, ia menjadikan permainan ini sukar.
"Banyak perkara pelik berlaku dalam setiap perlawanan dan ia menjadikannya lebih sukar.
"Runarsson tidak banyak beraksi untuk kami. Kita semua melakukan kesilapan dan perlu menyokongnya," kata Arteta yang kedudukannya sebagai pengendali mula dipersoal.
Guardiola bagaimanapun mempertahankan Arteta - bekas penolongnya di City dengan berkata:
"Beliau pengurus yang hebat. Saya tahu cadangannya dan apa yang dia akan lakukan.
"Keputusan buruk tidak akan mengubah pendapat saya."
Dalam satu lagi aksi suku akhir, kelab Liga Kejuaraan Brentford, mengejutkan pasukan Liga Perdana Newcastle 1-0 hasil jaringan Josh Dasilva.
Skuad kendalian Thomas Frank itu sudah menyingkirkan West Bromwich Albion, Southampton dan Fulham dalam laluan mereka ke suku akhir.
Frank berkata pemainnya telah "mencipta babak baru" dalam sejarah 131 tahun kelab itu selepas berjaya mara ke pusingan separuh akhir pertandingan utama buat julung kalinya.
Pasukan liga Kejuaraan itu meraih tempat terakhir dalam Piala Liga dengan menguasai perlawanan meskipun Frank membuat enam pertukaran pada kesebelasan utamanya.
Brentford mara ke peringkat separuh akhir menyusuli rekod 13 perlawanan tanpa kalah dan melepas beberapa peluang keemasan sebelum jaringan Josh Dasilva memastikan mengukuhkan tempat mereka sebagai empat pasukan terakhir.
Frank, pengurus asal Denmark yang berusia 52 tahun berkata:
"Ini merupakan langkah besar untuk kelab ini dan ia menunjukkan sejauh mana kemajuan kami. Pemilik kelab, Matthew Benham berhak mendapat pujian.
"Dan juga, cara kami melakukannya - kami berhak untuk menang dan mungkin dapat menjaringkan lebih banyak gol.
"Newcastle memberikan saingan yang sengit. Kami membuat beberapa pertukaran dan masih mampu menewaskan mereka." - AFP, Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg