LONDON: Keadaan di Tottenham Hotpur tidak semudah yang dijangka, kata pengurus baru Antonio Conte selepas kelab itu tewas dengan cara yang memalukan kepada pasukan kerdil NS Mura dalam saingan Liga Conference Eropah - pertandingan Eropah ketiga di belakang Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa - semalam.
Kekalahan 1-2 di Slovenia juga menipiskan peluang Spurs melayakkan diri ke pusingan selanjutnya.
Namun, Conte, yang berasal dari Italy, enggan mengulas tentang persembahan pasukannya itu.
Beliau telah menurunkan kesebelasan utama yang ditukar-tukar dan dianggotai oleh kebanyakan pemain yang tidak dianggap pemain utama kelab itu.
Hasilnya, Spurs ketinggalan satu gol seawal minit ke-11 dan bak jatuh ditimpa tangga, terpaksa bermain selama sejam dengan 10 pemain selepas Ryan Sessegnon diperintah keluar padang apabila menerima kad kuning kedua.
Kapten Harry Kane berjaya menyumbat gol penyamaan pada minit ke-72, tetapi satu mata sagu hati yang diharapkan tidak timbul bagi Spurs apabila Amadej Marosa menjaringkan gol kemenangan Mura dalam masa kecederaan.
Conte berkata:
"Saya tidak suka apa yang berlaku pada malam ini. Tapi saya perlu berkata jujur dan selepas tiga minggu di sini, saya kian memahami isu yang dihadapi kelab ini.
"Saya senang hati di sini tetapi saya juga tahu kami perlu berusaha gigih dalam banyak bahagian untuk mempertingkat kelab ini.
"Usaha ini tidak boleh dilakukan dengan sekelip mata dan pada masa ini ada jurang besar antara kami dengan kelab-kelab terbaik di Eropah." - Agensi berita.